ALOR SETAR,  Pemaju yang merancang memajukan sesebuah kawasan perumahan diminta mengambil kira keperluan menyediakan sebuah rumah yang boleh dijadikan taska atau pusat asuhan kanak-kanak.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kementeriannya dalam proses untuk mencadangkan perkara tersebut kepada Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda).

“Kita dalam proses mempromosikan konsep itu kepada Rehda dalam masa terdekat, kerana kementerian melihat konsep itu perlu dilaksanakan, bagi mewujudkan konsep sebuah rumah mesra taska di setiap 200 unit kediaman baru yang ingin dimajukan.

“Melalui konsep itu juga, ia dapat memudahkan pengusaha mewujudkan taska baru tanpa perlu membuat permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya hanya perlu mendapatkan kebenaran daripada tiga agensi lain, iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kesihatan,” katanya selepas membuat lawatan di Taska 1Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, pengusaha perlu membuat permohonan daripada PBT, selain mendapatkan persetujuan jiran-jiran yang tinggal berhampiran taska dan ia menyebabkan banyak masalah timbul, tetapi dengan pelaksanaan konsep itu nanti, masalah berkenaan dapat diselesaikan.

“Sekiranya kita dapat sokongan daripada pihak pemaju, setiap kawasan perumahan baru akan dilengkapi taska, namun ia perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan kementerian, iaitu ia perlu berada di hujung kawasan, selain dilengkapi faktor keselamatan terhadap kanak-kanak.

“Kita juga ingin mempromosikan konsep menghantar anak-anak di taska yang berdaftar di bawah JKM kepada golongan ibu bapa, kerana jumlah taska yang berdaftar sehingga 31 Disember tahun lalu di seluruh negara adalah sebanyak 4,154 taska dan angka ini sangat rendah, berbanding jumlah kanak-kanak yang ada di seluruh negara,” katanya.

Chew berkata, kementerian turut bekerjasama dengan Persatuan Pengasuh Berdaftar bagi memantau dan memastikan semua pengasuh yang bekerja di taska adalah terlatih dan nisbah pengasuh serta kanak-kanak perlu mengikut syarat ditetapkan dalam Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

“Nisbah bagi penjagaan kanak-kanak bawah setahun ialah seorang pengasuh menjaga tiga kanak-kanak, seorang pengasuh menjaga lima kanak-kanak satu hingga tiga tahun, manakala yang berumur bawah lima tahun, seorang pengasuh menjaga 10 kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, JKM Kedah giat mengadakan program kesedaran kepada golongan ibu bapa, supaya menghantar anak-anak ke pusat taska berdaftar, bagi membolehkan pemantauan daripada pijak kementerian dijalankan dengan baik.