KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin percaya, beliau dihalang memasuki Sarawak kerana kelantangannya memperjuangkan nasib gadis Penan yang dirogol pemandu lori balak di negeri itu.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN itu lagi, ini berdasarkan kenyataan pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kononnya beliau menipu di Dewan Rakyat berhubung kejadian gadis Penan dirogol.
“Pada sidang Parlimen saya pertikaikan kenapa tak umumkan siasatan dan selepas itu baru mereka umumkan keputusan siasatan dan mendapati memang kejadian rogol gadis Penan ada berlaku,” kata Zuraida kepada media pada program #HeForShe di Hotel DePalma, Ampang, semalam.
Terdahulu dalam forum itu, Zuraida melahirkan perasaan kesal apabila terdapat pemimpin Barisan Nasional (BN) mendakwa kejadian rogol gadis Penan merupakan sebagai sebahagian cara hidup masyarakat di situ.
“Tidak mungkin ada seorang bapa yang merelakan anak gadis mereka dirogol,” kata Zuraida dipetik SelangorKini.
Bagaimanapun Zuraida berkata, beliau sudah menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem supaya memberi kebenaran kepada beliau memasuki Sarawak.
Katanya lagi, selain menulis surat, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kunjungan hormat kepada Adenan Mac tahun lalu, juga ada menyentuh isu larangan terbabit.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, sekatan memasuki Sarawak terhadap beberapa pemimpin pembangkang khususnya KEADILAN bukan menjadi masalah besar.
Sebaliknya kata beliau, kemudahan internet dan laman sosial boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk berkempen kepada rakyat.
Beliau berkata, semangat pimpinan KEADILAN tetap tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN 11).
Jelasnya lagi, KEADILAN sudah bersedia dari segi jentera, calon dan logistik untuk bertanding di Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan