HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2016

Tun M pelik boleh bersuara, tetapi Ling tidak


Tun Mahathir berkata, dengan segala kritikan tajamnya terhadap Najib di blognya, termasuk mendesaknya meletakkan jawatan, beliau langsung tidak menerima sebarang saman fitnah, namun berbeza dengan Ling Liong Sik.

Ling Liong Sik


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad pelik dengan logik yang membenarkannya mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala bekas Presiden MCA Tun Ling Liong Sik pula dihalang daripada berbuat demikian.

Katanya lagi, dengan segala kritikan tajamnya terhadap Najib di blognya, termasuk mendesaknya meletakkan jawatan, beliau langsung tidak menerima sebarang saman fitnah.

“Mengikut pemerhatian saya, daripada balasan Perdana Menteri kepada hujah pembelaan Ling, Najib menerima kritikan tajam saya sebagai penting bagi kepimpinannya.

“Maka, peliklah apabila saya ada kebebasan bersuara (untuk mengkritik) tetapi bukan bagi Ling,” katanya dalam afidavit untuk menyokong permohonan Ling membatalkan saman fitnah Najib terhadap bekas presiden MCA itu.

Dalam usahanya untuk membatalkan saman itu, Ling menyebut dua sebab dalam permohonannya iaitu saman tersebut tidak mempunyai sebab yang wajar dan terdapat pihak lain yang menyatakan perkara yang sama.

Dalam afidavitnya, Ling berkata beliau keliru mengapa hanya dirinya yang menjadi sasaran, sedangkan pemimpin lain seperti Mahathir, Zaid Ibrahim, Muhyiddin Yassin dan Zainuddin Maidin tidak disaman.

“Apa yang mereka katakan lebih teruk daripada kata-kata saya. Mereka dibenarkan berbuat demikian kerana ada kebebasan menyatakan pandangan menurut Perdana Menteri. Adakah saya tidak layak untuk mendapat hak kebebasan bersuara?” soalnya.

Katanya lagi, beliau juga hanya menyokong seruan Mahathir agar Najib meletakkan jawatan, kerana berpandangan tindakan menerima wang daripada pihak lain dan memasukkannya ke dalam akaun sendiri adalah satu kesalahan.

Mahkamah menetapkan tarikh 31 Mac ini untuk pengurusan kes dengan Hakim John Louis O’hara.

Peguam Ling yang juga anaknya, Gregory Ling mengesahkan permohonan telah difailkan Khamis lalu, sementara peguam Najib, M. Reza Hassan berkata kedua-dua pihak akan terus berbincang tentang usaha mediasi.

Tiada ulasan: