KUALA LUMPUR: Seramai 662,983 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan
RM5.4 bilion sehingga 31 Disember lalu, menurut Kementerian Pendidikan
Tinggi (KPT).
KPT dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memberitahu bahawa
RM2.79 bilion pula adalah baki tertunggak kerana peminjam membuat
bayaran balik lebih rendah daripada ansuran ditetapkan PTPTN.
"Bagi tempoh itu juga, seramai 1.88 juta peminjam perlu membayar balik pinjaman PTPTN melibatkan jumlah RM15.33 bilion.
"Daripada jumlah itu, seramai 1.22 juta atau 64.72 peratus peminjam
mula membayar balik dengan amaun kutipan sebanyak RM7.14 bilion," kata
kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari
(BN-Setiawangsa) mengenai jumlah hutang tertunggak PTPTN sehingga
Disember lepas.
Ahmad Fauzi juga ingin tahu inisiatif yang dirangka kementerian itu
bagi menggalakkan peminjam menjelaskan pinjaman pendidikan mereka.
Menurut KPT, antara strategi yang dilaksanakan adalah taklimat di
institusi kerajaan dan swasta secara berkala serta pemberian diskaun
sebanyak 20 peratus bagi penyelesaian hutang secara sekali gus bagi
tempoh 1 Okt 2012 hingga 30 Sept 2013 dan 10 Okt 2014 hingga 31 Mac
2015.
"Selain itu, KPT juga membenarkan penstrukturan semula hutang sehingga
maksimum umur tidak melebihi 60 tahun, menyenarai hitam peminjam yang
gagal membuat bayaran balik dengan Jabatan Imigresen dan melaksanakan
tindakan undang-undang," kata KPT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan