Ahmad Zahid ketika berucap dalam majlis tersebut, di sini, hari ini.
IPOH - Tindakan tokoh-tokoh tertentu yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan pemimpin BN menyebabkan rasa hormat terhadap mereka terhakis.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan itu bukan sahaja tidak dapat diterima bahkan sebarang perbezaan yang ingin diluahkan perlu mengikut prosedur sedia ada.
"Perbuatan seseorang itu sendiri yang menyebabkan rasa hormat itu hilang.
"Pada hemat kami, ianya bukan menentang individu tetapi menentang sebuah institusi yang menjadi puncak kepada kepimpinan Umno dan BN selaku kerajaan memerintah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Umno Cawangan Empat Peringkat Negeri Perak 2016 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Terdahulu majlis tersebut turut disertai lebih 6,000 ahli Umno daripada pelbagai peringkat di seluruh negeri.
Menurut beliau, meskipun meraikan perbezaan namun semua pihak perlu menghormati acuan politik negara selain tidak membandingkannya dengan negara luar.
"Acuan politik kita berbeza dgn negara lain dan kita harus hormati acuan politik sedia ada yang disesuaikan dengan ekosistem dan politik dinegara kita," katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau percaya konflik yang berlaku dalam Umno pada ketika ini mempunyai hikmah tersendiri dan mampu diatasi sekiranya akar umbi memberi sokongan padu.
"Dalam perkara ini ada hikmahnya, ada semacam penyatuan dikalangan rakyat dan ahli parti selepas melihat persekongkolan yang dilakukan segelintir tokoh dengan pembangkang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan