SHAH ALAM - Pemuda Pas hari ini mendakwa deklarasi rakyat yang dibawakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Pakatan Harapan terlalu kecil jika dibandingkan dengan harapan rakyat.
Malah menurut Naib Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin,terdapat beberapa perkara penting tidak disertakan dalam deklarasi tersebut.
“Pas tidak menolak empat tuntutan dalam deklarasi rakyat kerana itu memang telah lama dilaungkan oleh rakyat dan Pas.
“Bagaimanapun fokus deklarasi sepatutnya adalah menuntut campurtangan Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU)dibuat lebih awal. Biar rakyat menjadi hakim dalam menentukan masa depan kepimpinan negara yang baru,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, corak kepimpinan dan masa depan negara hanya akan berbeza sekiranya kerajaan ditukar secara keseluruhan dalam PRU akan datang.
“Jika hanya menukar pemimpin negara (Datuk Seri Najib Tun Razak) di Parlimen dan menaikkan pemimpin lain dari parti yang sama ianya tidak akan mengubah apa-apa, malah mungkin akan menjadi lebih teruk.
“Tindakan itu juga akan memanjangkan usia Umno dan BN juga akan tetap membina kerajaan (walaupun selepas pemimpin ditukar). Strategi seperti ini sepatutnya sudah tidak boleh dipakai,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut berkata, parti baharu yang ingin mengambil alih kerajaan sekarang perlu lebih berhati-hati dalam memastikan harapan rakyat ditunaikan.
“Parti yang memerintah pasti lebih berhati-hati demi mengekalkan kuasa kerana rakyat sudah tahu bagaimana untuk menukar kerajaan dalam proses demokrasi,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan