HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Mac 2016

Deklarasi Rakyat: Tun M tidak hormat mandat rakyat

Noh Omar
Noh Omar


SHAH ALAM - Umno Selangor menzahirkan rasa kesal atas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditukar.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan tersebut juga sebagai tidak menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada Umno-BN.

"Tindakan itu jelas memperlihatkan kehendak nafsu politik Tun Mahathir melebihi ketetapan yang pernah beliau perkatakan tentang DAP dan PKR.

"Sebagai bekas perdana menteri, beliau pasti memahami keperluan mempertahankan  demokrasi dan tindakan beliau sekarang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang bekas pemimpin negara," katanya.

Semalam, Dr Mahathir bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang serta bekas pemimpin BN dan Umno menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Deklarasi Rakyat tuntut Najib undur]

Dalam pada itu, menurut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, dalam proses menukar perdana menteri ia perlu melalui Perlembagaan, bukannya melalui demonstrasi jalanan mahupun memorandum.

"Badan Perhubungan Umno Selangor menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri untuk terus menerajui saf kepimpinan negara.

"Kami mahu supaya semua rakyat dan ahli Umno khasnya bersatu dan menghormati mandat yang telah diberikan kepada Perdana Menteri untuk menerajui negara ini," katanya.


Tiada ulasan: