HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Mac 2016

Kempen #RespectMyPM dapat perhatian

MALAYSIAKINI




Minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin pembangkang serta NGO menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, satu kempen #respectMyPM dimulakan di laman sosial bagi mempertahankan perdana menteri.

Hashtag tersebut kini menjadi ‘trending’ selepas pengguna Twitter menggunakannya bersama poster Najib bagi menyatakan sokongan mereka terhadapnya.

Turut mendapat perhatian pengguna internet adalah poster Jalur Gemilang dengan tulisan "Saya rakyat Malaysia dan saya ... #RespectMyPM".

Ada juga bendera semua negeri, yang membolehkan penyokong daripada negeri berbeza berkongsi mesej yang sama.

Mahathir bersama 57 individu, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin Yassin menandatangani deklarasi agar Najib meletakkan jawatan Jumaat lalu.

Najib berulang kali menafikan segala tuduhan rasuah terhadapnya dan menyalahkan pihak yang berkomplot untuk menjatuhkan beliau.

Deklarasi rakyat yang dimeterai Mahathir bersama pembangkang itu mendapat kritikan pelbagai pihak.
Malah, ada di kalangan pemimpin Umno mengecam keras tindakan pemimpin veteran parti itu.

Pengarah komunikasi strategik BN Abdul Rahman Dahlan berkata, dengan bekerja bersama individu yang mahu memusnahkan Umno, Mahathir kini telah menjadi musuh kepada parti itu.

Sementara itu, terdapat juga desakan dalam Umno agar Muhyiddin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti.

Mukhriz antara yang turut menandatangani deklarasi berkenaan.

Mahathir baru-baru ini keluar daripada Umno sebagai protes terhadap kepimpinan Najib.


Tiada ulasan: