HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Mac 2016

Peguam pesimis dengan saman Dr M terhadap Najib

Koh Jun Lin

 


Walaupun saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menjana sensasi, namun beberapa peguam pesimis mengenai hasil saman tersebut.

Peguam New Sin Yew berkata saman itu akhirnya akan gagal kerana Najib tidak dianggap sebagai anggota perkhidmatan awam di bawah undang-undang.

"Salah satu elemen tort misfeasans dalam jawatan awam, ia mestilah menunjukkan bahawa Najib adalah seorang anggota perkhidmatan awam. Beliau bukan," katanya kepada Malaysiakini melalui e-mel semalam, dengan merujuk kepada Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Perkara 132 (3) (a) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan 'perkhidmatan awam' dengan cara yang tidak termasuk mana-mana anggota pentadbiran persekutuan atau negeri, yang seterusnya bermakna menteri, timbalan menteri dan jawatan lain di bawah Perkara 160 perlembagaan.

"Najib adalah seorang menteri, tetapi menteri-menteri tidak dianggap sebagai pegawai perkhidmatan awam.

"Oleh itu, saman itu akan gagal," kata New apabila ditanya mengenai saman yang difailkan itu semalam.

Dr Mahathir, bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan adalah plaintif dalam saman tersebut.

Dalam saman itu, defendan tunggal Najib didakwa melanggar kewajipan fidusiari dan misfeasans dalam jawatan awam, dengan didakwa mengkompromikan pelbagai siasatan terhadapnya berhubung dengan skandal 1MDB.

Sementara itu, peguam Andrew Khoo berpendapat bahawa untuk membuktikan locus standi yang mencukupi, akan menjadi isu dalam kes itu.

Locus standi merujuk kepada sama ada sesuatu pihak mempunyai alasan yang kukuh untuk membawa kes terhadap pihak yang lain.

Khoo berkata plaintif perlu menunjukkan kepada mahkamah bahawa mereka telah terjejas secara khusus oleh dakwaan malfeasans Najib berbanding penduduk umum, termasuk pembayar cukai lain dan ahli-ahli Umno.

Tiada ulasan: