Swee Poh bersama masyarakat Baba Nyonya lain yang masih mengamalkan adat menyamai masyarakat Melayu.
MELAKA - Masyarakat Baba Nyonya dianggap sebagai masyarakat unik kerana mereka adalah sebahagian daripada kaum Cina tetapi mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.
Masyarakat ini dikatakan telah wujud sejak lebih 600 tahun lalu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka apabila mereka datang untuk berdagang di wilayah ini dan kemudian berkahwin dengan masyarakat Melayu.
Sebab itu, kaum peranakan Baba Nyonya mempunyai persamaan dengan kaum Melayu terutama dari segi bahasa, makanan dan budaya.
Bagaimanapun, dari segi anutan, kebanyakan mereka masih mengekalkan agama Buddha, namun ramai di antara mereka yang memilih agama lain seperti Islam dan Kristian.
Cara masakan Baba Nyonya juga dipengaruhi resipi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.
Generasi Nyonya (perempuan) yang terdahulu sehingga kini masih memakai pakaian kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu yang dikenali sebagai kebaya nyonya.
Namun, kehidupan dan pemikiran kaum Baba Nyonya ini masih mengekalkan unsur-unsur masyarakat Cina biarpun mereka telah lama terpisah daripada komuniti nenek moyang mereka di China.
Ia jelas digambarkan menerusi sistem kekeluargaan dan agama yang masih mereka amalkan, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu (zaman sebelum penghijrahan ke Tanah Melayu).
Dianggarkan terdapat lebih 600 orang berketurunan Baba Nyonya di Melaka, ia tidak termasuk bilangan mereka yang berhijrah ke negeri lain khususnya ke Pulau Pinang dan Singapura.
Antara individu berketurunan Baba Nyonya yang ditemui wartawan Sinar Harian adalah Teoh Swee Poh, 54, berasal dari Tengkera, di sini.
Menurut Swee Poh, sejak di bangku sekolah lagi dia sekeluarga masih mengamalkan cara kehidupan masyarakat Baba Nyonya yang lebih cenderung adat kemelayuan.
Katanya, dari pertuturan, makanan, pergaulan hingga ke pakaian semuanya mengamalkan adat budaya kaum Melayu.
“Gara-gara selalu bercampur dengan masyarakat Melayu, hari ini jika hendak saya baca surah al-Fatihah pun saya boleh baca dengan baik, apatah lagi memberi salam sama seperti yang disebut-sebut orang Melayu.
“Ada kalanya rakan-rakan lupa saya ini bukan Melayu kerana pertuturan langsung tidak menggambarkan saya seorang berbangsa Cina,” katanya.
Swee Poh berkata, persamaan budaya Baba Nyonya dengan budaya Melayu melambangkan keharmonian pelbagai kaum di negara ini perlu dikekalkan supaya generasi masa depan mengenali masyarakat itu.
Katanya, apa yang diharapkan rakyat tidak seharusnya melupakan sumbangan dan peranan masyarakat Baba Nyonya di negeri ini yang mengekalkan amalan budaya dan warisan selari dengan masyarakat Melayu.
“Untuk itu, kita perlu terus menghidupkan amalan masyarakat Baba Nyonya yang selari dengan Melayu; antaranya mengingati persahabatan menerusi bau-bauan bunga rampai, pantun dan nyanyian, budi bahasa yang sekarang kita lihat semakin hilang dalam masyarakat, selain pakaian yang melambangkan ciri-ciri masyarakat itu seperti kebaya.
“Saya harap rakyat negara ini perlu menerima hakikat budaya dan amalan kaum Cina dan Melayu ini bergerak seiring dengan kedatangan Laksamana Cheng Ho ke Melaka dan agihan budaya yang hampir sama itu sangat harmoni tetapi sukar dinukilkan ketika ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan