Perkara itu masih dalam pertimbangan dan pengumuman akan dibuat sebaik sahaja mendapat keputusan muktamad.
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat belum memutuskan berhubung cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk tidak membenarkan isu RM2.6 bilion tidak dibahaskan di Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata ia masih dalam pertimbangan dan pengumuman akan dibuat sebaik sahaja keputusan muktamad diperolehi.
“(Isu RM2,6 bilion tidak dibenarkan bahas di Parlimen) itu masih dalam fikiran saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Azalina menerusi kenyataan di Dewan Rakyat berkata, isu derma RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh lagi dibahas di Parlimen.
Katanya, ia selaras dengan Peraturan 23 (1), di mana sebarang isu yang sedang berjalan di mahkamah tidak boleh dibahaskan di Parlimen.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan langkah Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Perdana Menteri berhubung dana RM2.6 bilion dan SRC International.
Sehubungan itu, tindakan Azalina dibantah oleh pemimpin pembangkang dengan menyifatkannya sebagai melangkaui bidang kuasa Speaker.
Rata-rata anggota Parlimen pembangkang yang membantah berpandangan Azalina tidak mempunyai hak berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan