KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
membayangkan yang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mungkin
berkubur sekiranya calon Parti Republikan, Donald Trump, menjadi
Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru bagi menggantikan Barack Obama.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini berikutan pendirian
Trump yang jelas tidak bersetuju dengan perjanjian berkenaan.
"Kita tidak mahu buat ramalan apa yang akan berlaku di AS, tetapi
sekiranya ini berlaku (Trump menjadi Presiden AS) dan Kongres AS tidak
bersetuju dengan TPPA, maka TPPA akan berkubur," katanya ketika
menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong
di Dewan Rakyat hari ini.
Mustapa berkata, terdapat peruntukan di dalam Bab 30 TPPA yang
menyatakan keperluan penyertaan AS dalam TPPA kerana negara itu
merupakan ekonomi terbesar dunia, iaitu kira-kira 20 peratus daripada
pengeluaran dunia.
"Apabila kita merundingkan TPPA, kita merasakan tanpa AS, ia kurang bermakna dan kurang berkesan," katanya.
Mengenai hasrat Trump yang ingin meminda TPPA, termasuk memasukkan
peruntukan berkaitan manipulasi mata wang, Mustapa berkata, perkara
berkenaan tidak akan berlaku kerana TPPA telah ditandatangani.
"Tidak akan ada apa-apa pindaan terhadap apa yang kita telah tandatangani bulan lepas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan