Susan Loone
DAP Pulau Pinang mengumumkan kempen mengumpul dana perpaduan yang
dilancarkan untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah dihentikan.
Pengerusi DAP negeri itu, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah
mencapai sasaran RM1 juta sejak kempen tersebut dilancarkan sekitar jam 5
petang semalam.
"Kami telah mengumpul RM1,009,000 setakat jam 2 petang," kata Chow pada sidang akhbar, hari ini.
DAP Pulau Pinang telah melancarkan kempen mengumpul derma selepas
Setiausaha Agung DAP itu ditahan dan didakwa atas dua tuduhan rasuah di
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.
Sebelum ini, parti itu telah mencairkan dana sendiri bagi membayar wang jaminan Lim.
Semalam, Lim yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas
kedua-dua pertuduhan telah dibenarkan ikat jamin pada RM1 juta dengan
seorang penjamin.
Mahkamah juga tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya tetapi
beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, dua
hari sebelum ke luar negara.
Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan sebagai pengurusan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan