SHAH ALAM: Seorang lelaki yang disyaki menendang seorang wanita di
jejantas di sini Khamis lalu seperti yang terakam dalam kamera litar
tertutup (CCTV) ditahan polis malam tadi.
Aksi lelaki itu di jejantas Bank Negara yang menjadi viral menjadi topik perbualan hangat dan dikecam para netizen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata suspek berusia 33 itu ditahan pada pukul 11.30 malam di Jinjang.
"Suspek pernah ditangkap kerana cuba menceroboh masuk ke kawasan Bank
Negara dengan bersenjatakan parang dan kes itu telah dituduh di
mahkamah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata suspek sebelum ini dipercayai pernah menyerang seorang
wanita berhampiran Bank Negara namun mangsa tidak membuat laporan polis.
Dalam kejadian Khamis itu, mangsa yang bertugas di Bank Negara sedang
berjalan di jejantas berkenaan apabila dia tiba-tiba ditendang dari arah
belakang oleh seorang lelaki.
Akibat serangan itu mangsa cedera di pipi kanan akibat terjatuh dan dirawat di Hospital Pantai, Bangsar.
Dalam rakaman CCTV berdurasi 36 saat itu yang tersebar di media sosial
menunjukkan wanita berkenaan tersungkur di lantai jejantas itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan