HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Julai 2016

Parti lain minta saya ‘masuklah’ tapi saya cakap ‘cukuplah’ – Shafie

THE MALAYSIAN TIMES


Shafie-Muhyiddin


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno yang digantung jawatannya, Datuk Seri Shafie Apdal mengambil keputusan untuk menolak tawaran bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi orang kanannya dalam parti pembangkang baru yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Tegas Shafie, beliau melihat keperluan untuk menubuhkan sebuah parti baru di Sabah lebih tinggi berbanding menyertai parti baru Tun Mahathir itu. 

“Tan Sri Muhyiddin (Yassin) minta saya…berkenaan parti baharu dan beritahu saya, ‘Datuk Seri Shafie Apdal, kamu akan jadi timbalan presiden dan saya jadi presiden’.

“Tapi saya kata, tak apa. Saya bukannya mahu menjadi presiden, timbalan presiden parti. Tidak perlu. Tun (Mahathir) tubuh, Muhyiddin jadi presiden, saya akan sokong apa yang perlu sokong.

“Sudah tiba masa saya balik kampung. Saya perlu bantu orang saya,” Shafie dipetik seperti berkata oleh Sinar Harian. 

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan supaya tidak ada mana-mana pihak yang menyebarkan spekulasi mengenai dakwaan kononnya beliau ingin membawa diri keluar dari negara kerana kecewa dengan pimpinan Umno kini. 

Jelasnya, untuk mengetahui apakah langkah yang akan diambilnya selepas ini, beliau menegaskan supaya tunggu Pilihan raya Umum (PRU) akan datang. 

“Jangan buat spekulasi. Parti lain minta saya ‘masuklah’ tapi saya cakap ‘cukuplah’.

“Saya ini tidak ada penyokong. Di Semporna pun berapa ramai yang akan ikut saya. Tunggulah pilihan raya nanti,” ujar beliau. 

Baru-baru ini, Tun Mahthir mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah parti baru yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional (BN) / Umno. 

Kata Dr Mahtahir, beliau tidak akan menjadi Presiden dalam parti baru yang ditubuhkannya itu sebaliknya beliau hanya akan menjadi salah seorang pemimpin di dalam parti baru itu. 

Desas desus mengatakan Muhyiddin akan menerajui parti baru itu bersama-sama dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan juga bekas-bekas ahli Umno yang telah dibuang parti ataupun meninggalkan parti Umno kerana kecewa dengan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 


Tiada ulasan: