
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok memperlekehkan arahan Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang meminta agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah SWT agar konsert Selena Gomez dibatalkan daripada dianjurkan di negeri itu.
“Jenaka apa ?? Exco Selangor tidak mengarahkan solat hajat untuk menyelamatkan Malaysia daripada malu yang dibawa oleh skandal 1MDB, tetapi sebaliknya mengarahkan solat hajat untuk membatalkan konsert yang akan datang di Shah Alam ??,”kata Teresa Kok dalam Facebook hari ini.

Ahli Parlimen DAP Seputeh membuat ulasan itu berdasarkan laporan Malaysiakini yang bertajuk “S’gor exco member orders special prayers to cancel Selena Gomez concert“.
Portal itu melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali baru-baru ini berpendapat bahawa ‘seksi adalah ciptaan Tuhan’ ketika ditanya mengenai bantahan terhadap konsert artis antarabangsa, Selena Gomez di negeri itu, namun pendirian itu nampaknya tidak senada dengan Exco Selangor daripada PAS, Ahmad Yunus Hairi.
Dalam satu kenyataan hari ini Ahmad Yunus mengarahkan semua masjid di Selangor mengadakan solat hajat bagi memohon konsert itu dibatalkan.
Malah Yunus berkata umat Islam tidak merestui konsert dan hiburan melampau yang hanya akan mengundang bala daripada Allah.
“Umat Islam tidak akan redha dan merestui segala bentuk hiburan yang melampau termasuklah konsert Selena Gomez yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT.
“Semua masjid di Negeri Selangor diarahkan mengadakan solat hajat selepas solat jumaat atau pada bila-bila masa yang sesuai sebelum konsert itu berlangsung untuk memohon kepada Allah SWT semoga konsert tersebut dibatalkan dan negeri Selangor yang kita cintai ini tidak ditimpa bala bencana.
“Juga diberikan hidayah oleh Allah SWT kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert ini,” katanya.
Konsert Selena Gomez bakal berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, 25 Julai ini.
Bagaimanapun ia menerima bantahan Pemuda dan Muslimat PAS yang mengatakan artis berkenaan membawa imej seksi dan liar serta mengundang masalah sosial.
Azmin dipetik berkata konsert itu akan diteruskan, walaupun mendapat bantahan dengan alasan pihak penganjur menepati semua syarat yang ditetapkan.
Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata penampilan seksi artis itu bukan perkara penting dan tidak sepatutnya dijadikan isu.
“Seksi itu ciptaan tuhan dan subjektif, jangan terlalu teruja mengenainya, kebanyakan peminat lebih tertarik dengan lirik lagu yang disampaikan oleh penyanyi berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan