HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Ogos 2016

Jawatan Ketua Pembangkang hanya 'umpan' kepada Muhyiddin - Penganalisis

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid beranggapan jawatan Ketua Pembangkang yang 'ditawarkan' terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya 'umpan' daripada PKR.
 
Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata 'umpan' berkenaan hanya akan menguntungkan PKR secara keseluruhannya.
 
Beliau berpendapat Muhyiddin tidak perlu menjalinkan hubungan dengan PKR, sebaliknya membentuk kerjasama dari luar gabungan pembangkang yang lebih memperjuangan Islam dan kaum Melayu.
 
"Itu (jawatan Ketua Pembangkang kepada Tan Sri Muhyiddin) adalah pancingan yang akan menguntungkan pihak PKR (sebagaimana dikatakan Nurul Izzah) tapi saya rasa elok dibentuk satu pakatan yang berbeza daripada PKR.
 
"PKR adalah satu pertubuhan yang tidak bersifat Melayu tapi lebih liberal maka dia ditolak oleh orang Melayu secara keseluruhannya dan tidak akan menjadi satu kuasa politik yang kuat. Di sini perlunya diteliti dalam konteks politik di Malaysia tidak boleh lari daripada prinsip Melayu Islam," katanya kepada Antarapos.
 
Tambah pensyarah itu, jawatan berkenaan tidak akan berkesan sekiranya pencapaian kerusi merosot.
 
"Samada (jawatan) Ketua Pembangkang itu perlu atau tidak, yang penting ialah berapa jumlah kerusi yang (akan) dimenangi, sama ada jadi ketua kalau menang 25 kerusi buat apa? Tidak akan kemana-mana. Itu yang perlu dilihat. 
 
"Ketua Pembangkang kalau tidak ada satu bilangan (kerusi) yang cukup tidak akan menjadi satu pakatan yang kuat. Apa yang boleh menyebabkan satu parti politik itu kukuh ialah perjuangan yang berteraskan agama dan bangsa Melayu," tambah Dr Mohd Noor.
 
Terdahulu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata mantan Timbalan Presiden Umno itu boleh dilantik sebagai ketua pembangkang di Parlimen jika parti pimpinannya, Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) komited dengan agenda reformasi serta menghormati sistem demokrasi dan perlembagaan persekutuan Malaysia.
 
Anak sulung kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata pelantikan mana-mana pemimpin sebagai Ketua Pembangkang perlu dibuktikan dengan sikap komited terhadap perjuangan pembangkang bersama jumlah kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
 
Jelas Nurul Izzah lagi, Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi mana mereka menghormati reformasi yang dibawa pembangkang bagi mewujudkan situasi timbang tara yang jelas di Malaysia.
 
Merujuk kenyataan itu, Dr Mohd Noor beranggapan adalah terlalu awal untuk meramal Muhyiddin dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
 
Menurutnya, objektif penubuhan BERSATU masih kabur dan memerlukan masa untuk mengukuhkan kedudukan dalam arena politik malah penerimaan rakyat terhadap parti itu pun masih belum dibuktikan.
 
"Buat masa ini belum lagi (Muhyiddin jadi Ketua Pembangkang) sebab tidak nampak arah lagi sebab parti ini baru, saya rasa perlu tempoh masa yang tertentu untuk melihat kekuatan parti ini dalam segi sokongan besar atau tidak. 
 
"Buat masa ini masih terlalu awal, saya rasa akan berlaku kecelaruan pembangkang sekiranya dilantik sebagai Ketua Pembangkang. 
 
"Sokongan rakyat juga akan jadi tidak begitu popular sekiranya pembangkang digabungkan dengan parti baru sebab sekarang ini sokongan terhadap Pakatan Harapan tiada kerana tidak mempunyai pinsip yang betul-betul jelas tentang perjuangan bangsa Melayu dan Islam maka pengundi lari kepada parti BN," jelas beliau.
 
Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dalam entri blog terkininya berkata BERSATU ditubuhkan bukan saja untuk menyaingi Umno, malah mahu meraih sokongan penduduk luar bandar.
 
Mahathir juga berkata sekiranya BERSATU ingin mendapat sokongan kaum Melayu dan Bumiputera lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar, parti itu seharusnya mengikut strategi Umno yang diakui mendapat tempat di hati rakyat.
 
Justeru, Dr Mohd Noor berkata parti itu harus terus memperjuangkan kaum Melayu dan Islam sekiranya ingin melihat cita-cita menjatuhkan Umno-BN tercapai.
 
"Saya melihat BERSATU ini akan menjadi satu kuasa yang kukuh sekiranya berdiri berpaksikan Melayu dan Islam. Tapi sekiranya dia (BERSATU) melencong kepada satu prinsip lain sebagaimana PKR maka saya rasa dia tidak akan kemana, sekejap sahaja dia akan hilang. Dan orang Melayu tidak akan sokong dan Umno BN gagal untuk dicabar.
 
"Akan berlaku satu senario yang kita jangkakan perubahan akan berlaku tetapi saya rasa kalau BERSATU tidak meletakkan pendirian yang jelas bahawa dia sebagaimana Umno dari segi perjuangan maka akan menjadi sebuah pertubuhan yang lemah dan hilang begitu sahaja dalam arus politik. Kalau menang pun bilangan kerusi yang amat kecil," katanya.
 
Akhbar tempatan hari ini juga melaporkan Muhyiddin perlu mendapat restu daripada tiga tokoh pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Lim Kit Siang (DAP) sebelum layak dilantik mengetuai mereka.
 
Persetujuan tiga tokoh tersebut dikatakan penting dalam menentukan pola sokongan daripada parti-parti komponen pembangkang itu sendiri.
 
 

Tiada ulasan: