HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Ogos 2016

Kaut kekayaan jadi buruk bila keluar Umno, soal Ku Seman

MALAYSIAKINI


Bekas editor kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain meminta Pemuda Umno untuk menjelaskan apakah perbezaan definisi kekayaan seseorang pemimpin itu ketika masih dalam kerajaan dan sebaliknya.

"Adakah seorang pemimpin yang mengaut kekayaan itu menjadi buruk apabila keluar Umno dan menjadi baik selagi dalam Umno?" tanya beliau yang berkhidmat lebih 32 tahun dengan akhbar Umno itu.

Beliau mengajukan soalan demikian dalam catatan Facebooknya pagi ini sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang menasihatkan bekas bosnya, Tan Sri Muhyddin Yassin agar cuba belajar mengenang jasa-jasa Umno.

Mohd Razlan mengingatkan Muhyiddin dan sekutunya yang telah hidup mewah hasil dari memegang jawatan dalam Umno suatu ketika dahulu supaya membuat keputusan yang lebih matang atau sekurang-kurangnya cubalah 'berlakon' jadi bijak.

Sebelum ini, Ku Seman turut meminta semua pihak menghentikan kejian, kutukan mahupun memperlekeh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pihaknya juga membuat kesimpulan Pemuda Umno dapat menerima pemimpin yang mengaut kekayaan melalui Umno.

"Betulkan kalau saya silap.

"Kalau memang sudah menjadi prinsip Pemuda Umno melindungi mereka yang terus dalam parti walaupun mengaut kekayaan, tak apalah. Cuma nak tau saja," jelasnya lagi.

Terdahulu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa pengunduran Ku Seman dari akhbar berkenaan berkaitan dengan sikap kritikal beliau dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

"Secara jelasnya saya tidak tahu kenapa tetapi saya dimaklumkan sikap Ku Seman yang agak kritikal terhadap perdana menteri khususnya dalam isu 1MDB dan isu wang derma RM2.6 bilion antara penyebabnya,” katanya.

Zainuddin mendakwa, sikap Ku Seman itu dianggap tidak selari dengan kerajaan, sekali gus menyebabkan beliau diberikan surat amaran oleh pengurusan Utusan.

“Malah ekoran tulisannya beliau dianggap sebagai penyokong pembangkang,” dakwa Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam.


Tiada ulasan: