KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa Malaysia dikecam kerana sehingga kini masih membisu dan tidak melakukan sebarang tindakan ke atas individu yang terlibat dalam pengubahan wang haram 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam mewakili Husam Musa dan Matthias Chang dalam kes saman di Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB, Datuk Zainur Zakaria berkata, amat menghairankan mengapa pihak berwajib seperti polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bertindak walaupun Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah mengeluarkan saman sivil.
“Kami sangat kecewa kerana tidak ada tindakan diambil untuk mendapatkan semula wang milik rakyat.
“Pihak berkuasa negara ini tidak mahu bertindak walaupun jelas ada perlakuan jenayah sehingga difailkan di AS,” katanya, pada sidang media di Restoran Amjal, hari ini bagi menjelaskan tuntutan saman tersebut.
Dalam saman tersebut, bekas Naib Presiden PAS dan Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad itu menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat, pengeluar dan pengedar filem Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Najib sebagai defendan.
Menurut The Hollywood Reporter, tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan pada 9 Ogos di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Selatan New York.
Sambung Zainur, berdiam diri bukanlah tindakan wajar kerana kesan daripada kecurian itu akhirnya terpaksa ditanggung rakyat.
Katanya, ‘perompak-perompak’ tersebut wajib dihukum dan tindakan kerajaan AS untuk merampas segala aset mereka adalah permulaan.
Beliau turut menyelar pendirian sebilangan pemimpin Melayu yang memandang remeh kes tersebut.
“Memalukan, mereka lupa pemberi rezeki itu ialah Allah bukannya manusia apalagi di tangan perompak.
“Kalau diam, kita yang kena tanggung kesan 1MDB, bukan mereka yang sebenarnya lanun,” tegas bekas Presiden Majlis Peguam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan