MIRI: Polis
merampas tujuh senjata api milik seorang ‘Datuk’ yang juga disyaki
dalang utama pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong Jun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak
Datuk Dev Kumar berkata rampasan sepucuk pistol jenama Glock, sepucuk
rifle jenama Ruger Ranch Rifle .223 dan lima senapang patah dilakukan
mulai 10.40 pagi hingga 12 tengah hari semalam.
“Senjata api yang dirampas ini tiada
kaitan dengan kes pembunuhan Bill Kayong pada 21 Jun lalu,” katanya
dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.
Dev berkata rampasan senjata api berkenaan dibuat di kediaman ‘Datuk’ berusia 45 tahun itu di sini.
“Turut dirampas ialah 416 butir peluru, 206 peluru senapang patah dan sebutir peluru GFL 9MM Luger,”katanya.
Beliau berkata dua pistol yang dirampas
itu dimiliki oleh ‘Datuk’ berkenaan untuk keselamatan diri dan lesen
dikeluarkan oleh polis manakala lima senapang patah untuk digunakan oleh
polis bantuan dengan lesen dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Miri.
“Tujuan kita merampas senjata api itu
atas faktor keselamatan memandangkan suspek telah menghilangkan diri
sejak 3 Julai 2016 dan tiada kawalan ke atas pemiliknya,” katanya sambil
menambah polis masih menunggu maklumat Interpol berkaitan lokasi
terkini suspek yang dipercayai masih berada di Australia.
Dev berkata Pesuruhjaya Polis Sarawak
Datuk Mazlan Mansor sedang dalam proses membatalkan lesen dua senjata
api yang dikeluarkan polis iaitu sepucuk pistol jenama Glock dan sepucuk
rifle jenama Ruger Ranch Rifle.
“Polis akan menulis surat kepada Pejabat Daerah Miri untuk membatalkan lesen lima senapang patah,” katanya.
Mengenai senapang patah yang digunakan
untuk membunuh Bill Kayong, beliau berkata polis masih menunggu
keputusan daripada Jabatan Forensik kerana ia tidak mempunyai nombor
siri untuk menentukan sama ada senjata itu buatan sendiri atau senjata
lama.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan