MALAYSIAKINI
Berada
di pentas akhir saingan badminton Sukan Olimpik Rio 2016, pemain beregu
campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying telah membanggakan
negara sekurang-kurangnya untuk pingat perak.
Namun bagi menyuntik semangat pemain negara itu sebuah syarikat
swasta Mobile Virtual Network Operator, XOX Bhd (XOX) mengumumkan habuan
RM100,000 sekiranya mereka berjaya meraih pingat emas pertama untuk
Malaysia.
Pengarah Kumpulan XOX Datuk Eddi Chai berkata, pencapaian gadingan Peng Soon dan Liu Ying itu telah membanggakan negara.
"Bagi pihak XOX Bhd, kami akan memberikan RM100,000 kepada pasangan ini sekiranya mereka membawa pulang emas untuk negara.
"Mereka akan mencipta sejarah dan kami akan berada di sana untuk mereka," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Terdahulu, pasangan wakil negara itu mengetepikan cabaran Xu Chen-Maj
Jin dari China, 21-12, 21-19 dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi.
Pada perlawanan akhir esok mereka akan berdepan cabaran pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Nasir.
Malaysia belum pernah memenangi pingat emas dalam temasya sukan
Olimpik dan mempunyai peluang untuk mendapatkannya menerusi persembahan
regu campuran tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan