HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Oktober 2016

'Betapa mahalnya harga yang dibayar akibat kesilapan urus tadbir' - Zeti

 
 
Zeti Akhtar Aziz
Zeti Akhtar Aziz


Meskipun berjaya mengharungi beberapa krisis kewangan global namun negara-negara Asia diingatkan supaya tidak leka dengan kekukuhan asas ekonomi rantau ini.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengingatkan, persekitaran ekonomi semakin mencabar dan rumit dari hari ke hari.

"Rantau Asia tidak kebal. Memang kita telah berjaya menunjukkan keupayaan untuk menangkis atau sekurang-kurangnya mengimbangi cabaran ekonomi global namun kita tidak seharusnya leka dan sentiasa bersenang-lenang dengan sejarah masa lampau.

"Ini kerana ekonomi hari ini semakin rumit dan perlu ada polisi-polisi baharu terutamanya yang melibatkan urus tadbir untuk dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa.

"Negara-negara Asia perlu belajar daripada kisah kejatuhan ekonomi-ekonomi maju dunia akibat kegagalan urus tadbir yang baik," katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk 'Urus tadbir yang baik dalam hubungan kerajaan dan swasta' pada Majlis Syarahan Tunku Muhriz 2016 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Menurut Zeti, sebagai sebuah ekonomi yang sedang berkembang pesat, rantau Asia perlu memberi penekanan yang amat berat kepada agenda memastikan urus tadbir yang baik sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Katanya, terdapat perbezaan yang ketara di dalam pelaksanaan urus tadbir sektor awam dan swasta yang mana di pihak kerajaan, keutamaan haruslah diberikan untuk membantu rakyat dan negara manakala sektor swasta pula adalah bergantung kepada kemahuan pemegang saham mereka.

Namun begitu, kedua-dua sektor tersebut perlu memberi fokus kepada urus tadbir yang baik kerana sekiranya gagal, kedua-duanya akan mengalami kerugian.

“Di sektor swsata, urus tadbir yang baik memberikan hak kepada pemegang saham untuk mengetahui perkembangan syarikat manakala di sektor awam pula, kerajaan perlu sentiasa memastikan polisi-polisi yang dibuat adalah jelas dan konsisten yang menyokong perkembangan negara serta rakyat.

Kesilapan di dalam mengurus pastinya akan merosakkan negara dan bangsa manakala bagi pihak swasta pula, mereka terpaksa menanggung kerugian apabila hilang keyakinan pemegang saham dan pelabur.

Ingatlah, betapa mahalnya harga yang perlu dibayar sekiranya sesebuah negara atau syarikat jatuh akibat tiada urus tadbir yang baik.

Bukan setakat hilang wang malah kita juga akan kehilangan reputasi,” katanya lagi sambil memberikan beberapa contohnya antaranya kejatuhan Lehman Brothers semasa krisis sub-prima yang melanda Amerika Syarikat hampir 10 tahun lalu yang turut mengakibatkan krisis kewangan global.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: