Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Adakah
PAS cuba ‘jual mahal’ untuk menyertai usaha pembangkang mahu merapatkan
saf dan menewaskan Umno-BN dalam pilihanraya umum ke-14 menggunakan
strategi ‘satu lawan satu?
Pada
asasnya PAS setuju untuk berunding dengan mana-mana parti pembangkang
asalkan matlamatnya untuk menundukkan Umno-BN boleh tercapai.
Bagaimanapun PAS mahu persefahaman dan kerjasama sesama pembangkang
kali ini berlaku mengikut adab dan pendekatan yang lebih telus dan
bersopan dan tidak berakhir dengan pengumuman ia ditendang keluar sekali
lagi.
Pengalamannya bertahaluf siyasi dengan DAP amat memedihkan. Setelah
mengkerdilkan monopoli kuasa Umno-BN dan yakin sokongan rakyat bukan
Melayu padanya semakin kukuh, DAP menunjukkan belangnya pada PAS.
PAS sebagai sebuah parti Islam, merukuni soal ‘sami’na wa atho’na’
(kami dengar dan kami taat) kepada pemimpin. Justeru apabila pemimpinnya
diperlekehkan oleh DAP secara terbuka, PAS secara lumrah memberikan
reaksi.
DAP mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat sudah mati. Ini semua,
hujahnya, kerana gara-gara PAS yang banyak mengambil tindakan
bersendirian dan ini menyukarkan ia bekerjasama dengan PAS.
PAS pun bertindak balas. Ia berfatwa tidak boleh lagi bertahaluf siyasi
dengan DAP. Maka tinggal PKR berusaha merapatkan kembali hubungan
DAP-PAS. Namun sedihnya, PKR sendiri mengumumkan beberapa kali ia
dikhianati PAS.
Sebagai sebuah institusi politik, PAS tahu ia perlu bekerjasama dengan
pembangkang lain. Sebab itu ia memilih Parti Ikatan Rakyat atau Ikatan
sebagai teman kongsi politik baru. Walaupun ia parti kecil, itu adalah
satu permulaaan.
Seiring dengan keangkuhan DAP itu, PAS juga diterjah oleh ahli-ahli
kanan parti itu yang keluar parti dan menubuhkan parti baru yang
dipanggil Parti Amanah Negara atau Amanah.
Cogan politik Amanah ialah untuk mengganti fungsi PAS sebagai sebuah
parti berideologi Islam dalam kelompok pembangkang. Tindakan itu
menyebabkan kesedihan dan kekecewaan PAS.
Mana pergi semangat juang pemimpin Islam dalam Amanah jika ia bermula
dengan niat mahu membinasakan PAS dan menolaknya keluar dari senario
politik Malaysia?
Amanah bermula dengan cuba menarik hati DAP. Setiap langkah politik DAP
akan dapat sokongannya. PAS pun menggelar mereka sebagai pengkhianat
yang meninggalkan PAS untuk bersekongkol dan musuh PAS!
Lantas dalam kesibukan menghadapi pilihanraya umum ke-14, PAS mengambil
pendirian bahawa ia sedia berunding dengan mana-mana parti pembangkang,
asal bukan DAP dan Amanah.
Malah PAS bersedia berunding dengan musuh tradisinya, bekas presiden
Umno selama lebih 22 tahun, Tun Mahathir Mohamad untuk mencerahkan lagi
harapan pembangkang menewaskan Umno-BN.
Sabtu lalu, PAS secara rasmi mengizinkan presiden parti Mahathir, Parti
Pribumi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di pentas politiknya,
di Terengganu.
"Bersatu (PPBM) saya fikir tidak akan bertanding di kerusi milik mereka
sahaja. Jadi saya fikir kita boleh bincang kalau bertindih dengan
kerusi PAS bertanding. Tetapi persoalannya yang tidak ada kerusi
sekarang adalah PAN (Amanah).
"Jadi masalah PAN (Amanah) ini kita sudah serahkan kepada DAP dan PKR
untuk beri laluan kepada PAN (Amanah). Itu terpulang kepada mereka apa
hendak buat dengan PAN (Amanah) ini?," kata Ahli Jawatankuasa PAS,
Sallehan Mukhyi.
Malah beliau berkata, soal pertandingan satu lawan satu untuk berdepan
dengan Barisan Nasional (BN) tidak akan menjadi masalah kerana parti
masing-masing mempunyai kerusi tersendiri.
Tetapi ujarnya, masalah pertindihan kerusi ini wujud disebabkan Amanah
tidak memiliki sebarang kerusi, dan mahu merampas kerusi PAS.
"Dulu DAP yang singkirkan kita, lepas itu PAS dalam muktamar putuskan
hubungan dengan DAP. Kerana DAP memang menentang Islam berterusan,
presiden kita (PAS) dah tegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP.
"Amanah itu merupakan parti yang kecewa dengan PAS. Kita juga anggap
(mereka) mengkhianati perjuangan PAS. Maka ketika ini kita memang tidak
akan bekerjasama dengan kedua parti.
"Tapi yang lain, kita boleh berbincang. Macam sekarang dengan IKATAN.
Mungkin dengan parti baru Bersatu (PPBM), walaupun kita belum membuat
keputusan.
"Tetapi itulah dasarnya, mana-mana parti yang nak kita bersama,
mestilah syarat utamanya (dan) menerima dapat bersama-sama memahami
perjuangan Islam. Jangan masuk campur, walaupun dia tak suka, diam
sajalah," tambah Mahfodz.
“Kita mempunyai kaedah baru dalam politik berdasarkan kepada politik
matang dan sejahtera. Kita boleh bekerjasama dengan mana-mana parti
politik khususnya yang menyokong untuk mendaulatkan Islam," ujarnya.
Hanya PAS yang sedia berhadapan dengan DAP dengan pendirian bahawa DAP
memusuhi perjuangan Islamnya. PAS juga tidak gentar menghadapi Umno yang
ditekan masalah dalaman dan kini cenderung mencari solusi melalui
Islam.
Meskipun kini dituduh mesra Umno dan difitnah sudah termakan dedak
Umno, PAS nampaknya berada di persada politik paling selesa ketika ini.
Pembangkang memerlukan kerjasamanya tetapi DAP dan Amanah jadi
penghalang, Umno juga mahu menjinakkannya kerana kerenggangan PAS dengan
pembangkang pasti mengukuhkan kedudukan Umno menghadapi PRU ke-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan