Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Alasan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor yang mengaitkan Akta
Rahsia Rasmi (OSA) dan rasuah sebagai sebab untuk keluar Umno, hanyalah
rekaan untuk menutup hakikat sebenar tindakannya itu.
Bekas Setiausaha Pemuda Keadilan (PKR), Datuk Lokman Noor Adam berkata,
Ezam bertindak untuk keluar Umno setelah merasakan kerjaya politiknya
semakin malap lantaran masih gagal meyakinkan ahli parti meskipun sudah
hampir lapan tahun bersama Umno.
Lokman yakin keputusan Ezam itu berdasarkan dua kebarangkalian yang
boleh dipercayai, sama ada bakal menyertai bekas partinya, PKR, ataupun
parti baru pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu Parti Pribumi
Bersatu Malayia (PPBM).
"Maklumat dalaman yang saya terima daripada kawan-kawan saya dalam PKR,
dia telah adakan perjumpaan dengan orang yang rapat dengan (Datuk Seri
Dr) Wan Azizah dan juga Nurul Izzah.
"Wan Azizah dan Nurul Izzah memang berseteru dengan (Datuk Seri) Azmin
Ali, mereka anggap Azmin hari ini sebagai pencabar. Dan Azmin sekarang
pun sudah sebaris dengan Tun Mahathir. Jadi untuk mengimbangi (pengaruh)
Azmin ini, Wan Azizah dan Nurul Izzah merancang nak bawa masuk Ezam,
dan mereka sudah pun mengadakan pertemuan," kata beliau kepada
Antarapos.
Lokman yang kini Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam pada
itu tidak menolak kebarangkalian terdapat kemungkinan untuk Ezam
menyertai PPBM.
Bagaimanapun tambahnya, tindakan keluar parti oleh Ezam itu langsung
tidak menjejaskan Umno, malah ujarnya, ianya sangat bertepatan
sementelah bekas senator itu bukanlah aset kepada parti atau kerajaan.
"Masa dia jadi senator pun tak menyerlah, sewaktu menjadi Pengarah
Komunikasi Kementerian Kewangan pun dia tak menyumbang. Sepatutnya dia
gunakan peluang yang diberikan Datuk Seri Najib itu untuk membuktikan
keinsafan dan taat setia kepada parti, tapi nampaknya dia memang gagal,"
kata beliau.
Malah kata Lokman, mana-mana parti yang menerima Ezam selepas ini
disifatkan beliau sebagai parti yang tidak cerdik kerana mengambil
seseorang yang tiada prinsip dan berkepentingan peribadi.
"Hanya parti yang tidak cerdik saja kerana ambil orang yang bermasalah
macam ini. Pertama, dia orang yang tak boleh dipercayai, keduanya, saya
pernah dedahkan pada 2004 mengenai sumbangan yang diterima, dana politik
dari luar negara yang diterima, tentang masalah moralnya.
"Tapi dengan masalah ini orang masih letakkan dia sebagai pemimpin
parti sama ada 'Bunga' (PPBM) atau PKR, saya rasa baguslah sebab bila
dia di pentas pembangkang, saya ada banyak peluru untuk berhadapan
dengan beliau," katanya lagi.
Ezam semalam mengumumkan untuk keluar Umno selepas mendakwa parti itu tidak lagi serius dalam perjuangan menentang rasuah.
Ezam menyertai Umno pada 2008, selepas setahun mengumumkan keluar dari PKR.
Beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada Mei 2010.
Beliau turut diberikan jawatan Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan
pada 2014, namun meletakkan jawatan berkenaan pada April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan