HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Cukup dengan penafian, Kelantan digesa bertindak pembalakan haram

 
C4 menyelar pemimpin negeri yang menafikan masalah itu dan berkata perlu ada gambaran penuh tentang apa yang berlaku di sebalik industri pembalakan Kelantan.


cynthia-gabriel_pembalakan_6001


PETALING JAYA: Sebuah badan pemantau rasuah hari ini melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan mengenai tahap pembalakan haram di Kelantan, dan mahu semua aktiviti pembalakan di negeri itu dibekukan.

Ia beberapa hari selepas ratusan penduduk Orang Asli bergelut dengan pihak berkuasa yang cuba menghalang pencerobohan hutan.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata perlu ada gambaran penuh tentang apa yang berlaku di sebalik industri pembalakan di negeri yang ditadbir PAS itu.

Ia juga menggesa kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob “menghentikan sindrom penafian” dan menunjukkan kepimpinan dengan memperkenalkan dasar ketat menguruskan hutan.

“Pembalakan berleluasa dikenal pasti antara punca kejadian banjir luar biasa di pantai timur sejak beberapa tahun, terutama kejadian tanah lumpur yang membanjiri beberapa kawasan di Kelantan pada 2014,” kata Pengarah C4, Cynthia Gabriel.

Rabu lalu di penempatan Orang Asli Pos Simpor dekat Gua Musang, seorang nyaris terputus kakinya ketika 160 Orang Asli dan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) cuba mempertahankan penghalang jalan daripada dirobohkan 30 lelaki bersama 3 anggota polis berseragam.

Setiausaha JKOAK, Mustafa Along, 29, bersama 2 Orang Asli, iaitu Manglo Tegau, 24, dan Salim Tegau, 31, turut ditahan kerana enggan bekerjasama, sebelum dibebaskan.Industri pembalakan di Kelantan kerap dipersoalkan.

Pada 29 September, Perhutanan Kelantan mendedahkan sejumlah 7,248 hektar daripada lebih 600,000 hektar Hutan Simpan Kekal diteroka secara haram sejak 1980-an. Bagaimanapun, ia menafikan pembalakan berleluasa disebabkan kelulusan lesen pembalakan oleh pihak berkuasa negeri.

“Kami terkejut amalan sedemikian tidak menerima hukuman dan tidak ada tindakan penguatkuasaan ke atas pesalah,” kata Cynthia.

Beliau juga menyelar “penafian serta merta” Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Persatuan Pembalak Kelantan, dan berkata ia hanya menguatkan kesangsian terhadap usaha pihak tertentu cuba membela pesalah.

Sabtu lalu, bekas Exco kanan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri perlu membekukan kegiatan pembalakan di Gua Musang buat sementara waktu dan melantik perunding bebas bagi menjalankan kajian itu.

Katanya, jika didapati pembalakan menjejaskan kehidupan Orang Asli, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan pemberian hak milik tanah berserta syarat sesuai kepada komuniti terbabit.

Tiada ulasan: