HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Ezam umum keluar Umno

Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor


SHAH ALAM - Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini membuat keputusan keluar daripada Umno.

Menyifatkan ia tindakan sukar, namun kata Ezam, tindakan itu dilakukan demi mempertahankan prinsip perjuangannya yang ingin membawa perubahan terhadap negara ini.

"Hari ini 1 Muharam 1438H saya membuat keputusan untuk tidak lagi bersama parti Umno," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Katanya, sebelum ini beliau menyertai Umno pada Mei 2008 atas prinsip yang sama, iaitu  untuk melakukan perubahan besar dalam usaha memerangi rasuah dengan menggubal akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantikan akta Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

Turut menjadi tumpuan adalah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) .

"Perubahan itu benar berlaku sejurus selepas kemasukan saya ke dalam parti Umno dan SPRM yang lahir dari akta baru itu jauh berbeza berbanding BPR dalam banyak aspek.

"Ya saya pernah dipenjarakan di bawah kedua-dua akta ini namun yang lebih penting ialah saya percaya kedua-dua akta ini sering menjadi hambatan kepada perjuangan melawan jenayah rasuah," katanya.

Ujarnya lagi, dalam tempoh menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 2010 hingga 2014, ISA dibahas dan dimansuhkan, sementara OSA tiada tanda-tanda akan berlaku perubahan.

Ezam berkata, bagaimanapun beliau tetap bersangka baik kepada kerajaan transformasi di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan melakukan segala usaha 'mempengaruhi' pentadbiran agar melakukan perubahan khususnya ke atas OSA.

Namun, dakwanya, OSA sebaliknya digunakan ke atas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam kes membabitkan syarikat pelaburan negara 1MDB.

"OSA bukan sahaja tidak digubal tetapi digunakan atau lebih tepat lagi disalahgunakan ke atas laporan PAC kes 1MDB. Satu kes yang langsung tidak membabitkan soal keselamatan negara yang mewajarkan penggunaan OSA.

"Ini adalah sejuta langkah ke belakang di dalam proses transformasi yg dilaungkan menjadi teras kerajaan," katanya.

Justeru Ezam berkata, beliau membuat teguran terbuka bagi mendesak tindakan salah itu diperbetulkan, namun tidak diendahkan.

"Beberapa bulan berlalu. Tiada tindakan pembetulan. Malah media dan beberapa kerat pemimpin digunakan memomokkan teguran saya. Dan tidak ada seorang pun pemimpin umno yang bersuara memperbetulkan keadaan.

"Maka saya sedar saya bukan lagi di dalam satu parti dan jemaah yang serius mahu lakukan pembaharuan dan islah lebih-lebih lagi apabila ia menyangkut soal rasuah dan penyelewengan," katanya.

Beliau turut membuat keputusan menamatkan perkhidmatan di Kementerian Kewangan enam bulan lalu, setahun lebih awal daripada kontrak perkhidmatannya yang berakhir 1 April 2017.

Tiada ulasan: