Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Fenomena 'keluar parti' oleh beberapa pimpinan Pakatan
Harapan (PH) di Sabah bagi membentuk parti politik tempatan dikhuatiri
membawa kesan negatif kepada integrasi nasional.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri
Amir berkata, perkara itu tidak mustahil boleh timbul sekiranya parti
politik baru berkenaan memainkan sentimen kenegerian yang melampau
sebagai dasar perjuangan mereka.
"Sama ada ini boleh mewujudkan pergeseran atau perpecahan dari segi
integrasi dan seterusnya mencetusnya sentimen anti-Semenanjung atau
tidak, ia bergantung kepada apa yang diperjuangkan oleh mereka dan
bagaimana mereka memperjuangkannya.
"Kalau naratif politik mereka banyak memainkan sentimen kenegerian yang
melampau, sudah tentu sedikit sebanyak ini boleh mewujudkan kesan
negatif," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
Jeniri berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR
dan DAP Sabah yang mengumumkan keluar parti bagi menubuhkan parti
politik baru tempatan semalam.
Mereka adalah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN), Datuk Seri
Lajim Ukin; ADUN Moyog, Terrance Siambun; Setiausaha PKR Sabah, Datuk
Majjol Mahap; Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani dan seorang wakil
rakyat DAP, Wong Hong Jun yang merupakan ADUN Likas.
Menurut Jeniri, tindakan 'keluar parti' itu membuktikan kumpulan
pemimpin itu kecewa dengan parti sedia ada kerana gagal mengangkat suara
rakyat tempatan.
Justeru tambahnya, parti baru yang bakal ditubuhkan kumpulan pemimpin
ini wajar menggunakan pendekatan rasional dan bukan bersifat konfrontasi
dalam memperjuangkan hak rakyat tempatan.
"Tapi kalau mereka dapat kawal naratif dan retorik politik dengan cara
waras dan munasabah sesuai dengan hak yang termaktub dalam Perjanjian
Malaysia, dan juga apa yang digariskan dalam laporan Jawatankuasa
Cobbold, maka ini tentu tidak akan bawa kesan negatif yang banyak," kata
beliau lagi.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM),
Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata, fenomena itu perlu
diambil berat oleh Umno-Barisan Nasional (BN), walaupun pada luarannya
ia seolah-olah memperlihatkan 'kelumpuhan' pembangkang.
"BN perlu berhati-hati dengan perkembangan yang berlaku, mungkin ia
lebih kepada strategi politik untuk jatuhkan BN di sana," kata
Azizuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan