Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Bekas Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin meminta
parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah itu agar 'berjiwa besar' dan
memberi laluan kepada parti tempatan untuk memperjuangkan hak rakyat
negeri berkenaan.
ADUN Klias itu berkata, saranan berkenaan tidak hanya demi
memperjuangkan hak rakyat Sabah, tetapi untuk satu matlamat yang lebih
besar iaitu mengelakkan pertembungan sesama parti pembangkang pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru atau empat penjuru, maka agak
malang lah bagi Pakatan Harapan (PH) dan kami semua. Kerana asalnya kita
mahu menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Jadi itu agak malang. Tapi kalau mereka inginkan menawan Putrajaya, maka mereka harus mendengar kehendak rakyat Sabah.
"Maknanya dalam pilihan raya umum PKR, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu
Malaysia), DAP dan Amanah tidak meletakkan calon di Sabah. Kita mahu
supaya kita menjadi komponen. Itu cadangan kita tapi itu bukan keputusan
muktamad, kena dibincangkan di kalangan pimpinan peringkat negeri
Sabah," katanya kepada Antarapos.
Lajim beberapa hari lalu mengumumkan keluar daripada PKR bagi menyertai
parti politik tempatan, kerana mendakwa sudah hilang keyakinan dengan
kemampuan parti itu meraih sokongan rakyat Sabah dalam pilihan raya umum
akan datang.
Turut mengambil tindakan serupa adalah ADUN Moyog, Terrence Siambun;
Setiausaha PKR Sabah, Datuk Majjol Mahak, dan Ketua Wanita PKR Negeri,
Johair Matlani bersama sebelas pemimpin cabang lain.
ADUN Likas daripada DAP, Wong Hong Jun juga mengikuti jejak langkah Lajim.
Mengulas lanjut mengenai tindakannya yang nyata mengejutkan ramai pihak
itu, kata Lajim, ketika masih berada dalam parti lagi beliau sudah pun
menyuarakan kebimbangannya mengenai tahap sokongan rakyat Sabah terhadap
PKR.
Kata Lajim, beliau malah pernah mencadangkan agar parti memikirkan satu
mekanisme, antaranya mewujudkan sebuah parti tempatan dengan tetap
mengekalkan hubungan dengan Pakatan Harapan.
"Kita perlu ada mekanisme, pertamanya saya katakan (boleh wujudkan)
'PKR plus' atau 'PH plus' dan kita tiada masalah, tapi mestilah kami di
Sabah berteraskan kepada kehendak majoriti rakyat Sabah yang mahu kami
memimpin parti tempatan," katanya.
Bagaimanapun katanya, pendapat itu kurang dipersetujui sebahagian
pimpinan yang merasakan peranan parti tersebut sudah 'memadai' di Sabah.
"Ada yang kata, kami (PKR) kami juga memperjuangkan autonomi Sabah dan
sebagainya. Tetapi bila kita kembali ke Sabah dan jumpa dengan rakyat,
kita dapat maklum balas daripada pelbagai golongan, nampaknya mereka
(rakyat) tidak boleh terima.
"Mereka mahu pemimpin Sabah bersatu dan bekerja untuk pastikan bahawa
pemimpin dan rakyat Sabah yang menentukan masa depan mereka," kata
beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan