HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Oktober 2016

Amanah: Politik Malaysia adakalanya lucu

Anuar Tahir
Anuar Tahir


SHAH ALAM – “Kadang-kadang lucu juga (dunia) politik kita ini,” demikian reaksi Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir ketika ditanya tentang kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang membayangkan gabungan antara Pas dan Umno menjelang PRU akan datang.

Kata Anuar, perkara itu sudah pun dijangka oleh pihaknya sejak mereka masih berada di dalam Pas.

Malah katanya lagi, pakatan pembangkang tidak terkejut malah tidak akan menghalang sekiranya ada penyatuan antara keduanya sebelum pilihan raya nanti.

“Kami tidak terkejut dengan sekiranya Pas bergabung dengan Umno kerana hal tersebut menjadi sebutan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Semasa kami masih berada dalam Pas lagi kami tahu memang ada beberapa pertemuan melibatkan beberapa orang tertentu antara kedua parti Pas dan Umno,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Annuar pada sidang media Umno selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua penerangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sebelum ini membayangkan akan berlaku satu persepakatan baharu dalam arena politik negara menjelang Plilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

[ARTIKEL BERKAITAN: Satu persepakatan baharu bersama Pas bakal dibentuk]

Mengulas lanjut, Anuar berkata, perjuangan Pakatan Harapan tidak akan terjejas sekiranya Pas memilih untuk berjuang di sisi Umno selepas ini.

Ujarnya lagi, apa yang perlu dilakukan Pas hanyalah memuktamadkan keputusan sama ada untuk terus teguh bersama pembangkang atau bersama dengan Umno untuk meneruskan kuasa pemerintahan ke atas rakyat.

Dalam politik memang selalu ada drama

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar dari PKR, G Manivannan berkata, semua pihak harus bertenang terlebih dahulu kerana dunia politik memang tidak boleh diramal dan sentiasa ada ‘drama’.

Tidak ambil pusing dengan kenyataan Annuar, Manivannan berkata, pihaknya sentiasa sedia untuk mengharungi apa sahaja situasi politik yang akan muncul pada masa akan datang.

Mengulas mengenai dakwaan penyatuan antara Pas dengan Umno, beliau berkata, pihak parti sentiasa terbuka dengan keputusan rakan seperjuangan yang mahu bergabung dengan mana-mana parti lain.

Katanya lagi, hanya rakyat berhak menilai dan menentukan sama ada ia keputusan yang bijak atau sebaliknya.

“PKR tidak boleh halang mana-mana parti untuk bergabung (dengan pihak lain). Kalau betul Pas dan Umno mahu bergabung, biarlah rakyat yang tentukan itu langkah terbaik atau tidak, bukan PKR.

Mustahil kami, mereka akan bersatu

Dalam perkembangan lain,  Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyanggah dakwaan yang dibuat oleh Annuar.

Katanya, gabungan antara Pas-Umno adalah sesuatu yang mustahil memandangkan Pas sudah pun membentuk blok Gagasan Sejahtera (Gagasan).

"Sehingga setakat ini, Pas tidak memberi apa-apa komitmen dengan mana-mana gabungan politik (political coalition) sama ada dengan pihak kerajaan atau pembangkang. Pendirian Pas seperti yang diputuskan pada bulan Ogos yang lalu, Pas akan memperkuatkan blok politik Gagasan Sejahtera (Gagasan) sebagai alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan dalam PRU akan datang.

“Pas mempunyai kekuatan sendiri untuk mencapai sasaran kemenangan dalam PRU akan datang,” katanya.


Tiada ulasan: