HALAMAN SANTAI
Rabu, 5 Oktober 2016
Muhyiddin Pujuk PAS, Mukhriz Bersama PAN
Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melakukan misi yang berbeza dalam usaha menyatukan semula PAS dan PAN bagi merealisasikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha untuk memujuk PAS, manakala Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berdiri teguh bersama PAN.
Muhyiddin berkata PAS perlu bergabung dengan PPBM dan Pakatan Harapan bagi mewujudkan gelombang perubahan besar ke arah pembentukan kerajaan baharu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Gandingan kerjasama secara rasmi ini saya kira dapat membantu kita capai kejayaan pada PRU akan datang dan apabila adanya kerjasama dengan Bersatu dan lain-lain parti, ia sebenarnya satu bentuk pengiktirafan tentang peranan boleh dimainkan secara bersama-sama.
“Saya tahu cabarannya besar tetapi kita boleh ketepikan berbezaan antara kita dan melihat ke depan. Lebih penting kemuafakatan ini serta formula satu lawan satu mampu membantu memenangi PRU akan datang, gelombang besar yang mahu lihat perubahan,” kata Muhyiddin ketika berucap pada Harap 3.4, di Kemasek, pada Sabtu seperti lapor portal pro PAN, Malaysia Dateline.
Tambah Muhyiddin, beliau bersedia menawarkan diri untuk menjadi ‘orang tengah’ untuk menjadi juru cakap di antara PAS dengan Pakatan Harapan.
“Waktu mana saya berunding juga dengan pihak PKR dan parti lain kerana kami adalah parti kecil untuk menjelaskan kewujudan parti kami, mereka juga menyokong tentang langkah ini dan menyatakan bahawa Bersatu boleh mainkan peranan.
“Jadi dalam pertemuan-pertemuan seperti inilah yang mengerakkan hati saya bahawa inisiatif yang hendak diambil oleh Bersatu bersama-sama parti lain termasuk Pas adalah satu daripada formula yang amat penting untuk kita wujudkan sebagai satu bentuk muafakat pilihan raya,” ujarnya.
Sementara itu, Mukhriz pula tampil mengadakan sidang media bersama dengan pimpinan PAN di Wisma Amanah Negara, Jalan Kuching hari ini.
Mukhriz berkata jawatan timbalan presiden PPBM hanya akan diisi, selepas diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan jika RoS membantah, kemungkinan besar hanya pemangku dilantik sementara menunggu pemilihan parti diadakan.
“Dalam perbincangan kami dengan pihak RoS, ada beberapa perkara yang kami perlu dapatkan persetujuan RoS dan ketetapan dalam parti.
“Biasanya, jawatan ini dipilih melalui pemilihan dalam parti, tetapi RoS juga faham pemilihan parti tidak perlu disegerakan dan boleh dibuat selepas pilihan raya,” katanya dilaporkan FMT.
Sebelum ini, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempersoalkan kekosongan jawatan timbalan presiden, walaupun pendaftaran PPBM diluluskan lebih sebulan lalu.
Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, pelantikan Mukhriz sudah dijanjikan sejak awal, selain mendakwa ramai mengharapkan Mukhriz dilantik ke jawatan itu bagi menarik sokongan belia menyertai PPBM.
“Dalam apa jua keadaan, kepimpinan protem mesti merealisasikan impian dan kehendak rakyat serta generasi muda yang mahukan Muhkriz dinamakan secepat mungkin sebagai timbalan presiden PPBM,” kata Khairuddin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan