HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Oktober 2016

Rasuah: Masa untuk Islam


 
Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ


Negara kita dikejutkan dengan penahanan dua orang pegawai kanan kerajaan di negeri Sabah yang dikatakan terlibat dengan kesalahan rasuah yang melibatkan ratusan juta ringgit. Menurut SPRM, ia adalah kejayaan membongkar skandal yang melibatkan jumlah wang ringgit terbesar semenjak ditubuhkan.

Rasuah bukanlah isu asing dan janggal dalam negara kita. Ia adalah gejala harian dan bukan bermusim sebagaimana musim buah durian dan rambutan. Tiap-tiap hari rasuah berlaku dalam negara kita sama ada kecil atau besar, dibongkar atau pun tidak. Ia sebahagian cara rakyat Malaysia mencari rezeki walaupun hina dan haram. Di negara kita, tidak semua merasa malu untuk hidup hina dengan punca rezeki yang haram.

Skandal besar rasuah yang baru terbongkar di negara kita itu, bagi para pengamat politik negara, bukanlah sukar untuk ditelah bahawa ia pastinya melibatkan orang politik. Projek kerajaan berjumlah RM3 bilion adalah dengan kelulusan orang politik. Ia masuk ke Sabah dengan pengetahuan orang politik. Umno BN pula terkenal sebagai parti hamba abdi rasuah sejak puluhan tahun. Bagaimana Umno hidup memancing undi rakyat Sabah juga diketahui umum. Masakan projek seenak ini tidak menggiurkan mereka.

Tetapi bagi rakyat dan orang awam yang enggan berfikir, rela kekal hanyut dan membiarkan diri ditipu, mereka akan berfikir bahawa yang bersalah adalah dua orang itulah dan beberapa individu lagi yang terlibat dalam projek melibatkan RM3 bilion itu sahaja. Sebaik dihukum, maka kes ditutup dan selesai. Adapun orang-orang politik, mereka akan kekal selamat sehinggalah mereka ditangkap dengan kes yang sama. Bila? Jawabannya bila-bila pun, mereka akan kekal selamat.

Lihatlah kepada beberapa skandal kewangan besar di negara kita. Sebahagian besarnya kekal misteri. Hakikatnya, ia bukanlah misteri. Ia hanyalah kes yang dipaksa untuk ditutup dan dighaibkan oleh orang politik yang berkuasa.

Begitulah, kawanan kambing hitam akan kekal hidup diternak di negara kita dan masanya satu persatu akan disembelih dengan reda tuannya. Rakyat akan terus dihidangkan dengan jamuan opera seperti ini. Ia bagai satu rasuah awam terancang untuk kesekian kalinya bagi mengabui mata rakyat seolah-olah kerajaan sentiasa bertindak ke atas salah laku rasuah. Rupanya, begitulah penyakit rasuah terus hidup subur di dalam negara.

Kita mengucapkan tahniah kepada SPRM yang telah berjaya menyelamatkan wang negara daripada dirompak oleh para pengkhianat yang berlakon sebagai orang baik-baik dan berkhidmat untuk negara. Seharusnya mereka dihukum dengan seburuk-buruk hukuman. Mereka patut dipenjarakan hinggalah ke lubang kubur sekalipun.

Kejayaan ini walau bagaimanapun tidaklah bermakna kejayaan negara memerangi rasuah. Bukan. Bahkan ia hanyalah sekalung tahniah di atas kejayaan SPRM berusaha membebaskan dirinya daripada cengkaman orang-orang politik.

Gejala rasuah dikesan tumbuh dan menyubur sejak zaman Tun Mahathir lagi. Politik wang adalah buah pertama tanaman rasuah pada zamannya. Dengannya Tun Dr Mahathir berkuasa besar ke atas negara, mencantas musuh dalamannya dan memerangi musuh luarannya sepenuhnya. SPRM pada masa itu hanyalah budak suruhan yang mengikut telunjuk dan hanya tahu mengangguk dan tidak pernah diajar untuk menggeleng kepala.

Jadi apabila SPRM semakin berani bertindak hari ini dan sudah wujud tanda-tanda pertentangan dengan kehendak orang-orang politik, ia sudah cukup untuk rakyat menarik nafas lega untuk beberapa waktu sebelum meneruskan perjuangan memerangi rasuah sehingga hujungnya nanti.

Apabila ratusan juta wang rakyat dicampak ke dalam kitaran rasuah, maka ia akan membeku dan hanya berpusing dan berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Kemudian wang itu akan dibazirkan dengan cepat melalui pemborosan dan aktiviti mungkar dan haram. Pemborosan dan pembaziran akan bersambungan dengan kerosakan demi kerosakan ke seterusnya dalam kehidupan rakyat.

Seterusnya negara akan mengadu kehabisan wang. Rakyat terutama orang-orang miskin yang sedang kelaparan akan dipujuk untuk membantu mengukuhkan negara dengan kenaan cukai dan bukan cukai. Di longkang inilah nyamuk GST diternak yang akhirnya menyebarkan wabak denggi dan zika ekonomi negara.

Rasuah sedang menghancurkan negara. Vaksinnya sudah ditawarkan dan tidak mampu lagi melawannya. Banyak mana pun hospital dibina, rasuah terus menyerang dengan niat yang jelas iaitu untuk menghancurkan negara.

Jika kerajaan dan parti pemerintah enggan untuk merasa malu dan hina dengan penyakit bahaya yang melanda negara ini, rakyat mestilah malu untuk memiliki kerajaan dan orang politik seperti ini. Jika tidak, tiada lagi senjata dan pertahanan yang boleh menyelamatkan negara.

Rakyat mestilah disedarkan dengan beberapa hakikat yang sering diketepikan. Pertama, kegagalan berterusan pemerintah memerangi rasuah adalah tanda hilangnya taring atau kelayakan untuk terus menerajui negara. Kedua, punca kegagalan adalah kerana wujud kelompok atasan yang kebal dan kalis undang-undang. Merekalah sebenarnya penternak yang menyuburkan rasuah yang mesti diperangi.

Ketiga, tiada lagi kekuatan untuk memerangi rasuah selain keazaman dan keberanian rakyat untuk berubah. Ia sama ada akan berjaya menyedarkan kerajaan untuk benar-benar bertaubat dan bertindak benar memerangi rasuah dan sepertinya, atau akan menjatuhkan dan menukarkan kerajaan sedia ada dengan kerajaan baru yang lebih bertanggung jawab. Sudah hampir pasti, menanti kerajaan Umno BN bertaubat adalah begitu sukar.

Keempat, kesegeraan untuk memahami penyelesaian terbaik memerangi rasuah dan memacu negara ke hadapan dengan formula yang lebih menjamin kemajuan, keamanan dan kelestariannya.

Bagaimana memerangi rasuah? Ada dua cara di hadapan kita. Pertama, cara barat. Kedua, cara Islam. Cara barat bermaksud penyelesaian yang dihasilkan melalui ketamadunan semasa manusia yang sentiasa berkembang melalui ilmu dan disiplin untuk hidup maju dan makmur di dunia.

Dunia barat hari ini dinamakan sebagai contoh kejayaan memerangi rasuah sehingga ke akarnya. Ia menjadikan rasuah dipandang hina oleh rakyat dan mereka begitu bersedia untuk tidak bertolak ansur dengan pemimpin yang terlibat dengan rasuah.

Cara Islam bermaksud penyelasaian menyeluruh melalui pengajaran al-Quran dan sunnah al Rasul yang telah terbukti berjaya membina tamadun manusia yang melihat kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Penyelesaian Islam tidak berlaku hari ini akibat umat Islam sendiri yang meninggalkan pengajaran ugama mereka. Harapan kembali segar dengan pesat kerana wujud kebangkitan Islam akhir-akhir ini yang menyeru umat Islam untuk kembali kepada Islam yang menyeluruh dan sempurna.

Ciri utama yang membezakan kedua-dua penyelesaian ini ialah bahawa cara barat lebih bersifat membina dengan tangan kanan manakala tangan kiri meruntuhkan. Cara Islam adalah sebaliknya. Ia sepenuhnya membangunkan bahkan sehingga kebahagiaan di akhirat nanti.

Sebagai contoh, barat memerangi rasuah, tetapi dalam masa yang sama mereka mempromosi ekonomi riba. Hari ini, ketika mereka berbangga dengan kejayaan membersih diri daripada pemimpin yang korup dengan rasuah, tetapi mereka sedang melihat negara dan tamadun mereka sedang di ambang keruntuhan akibat ekonomi riba yang mula menyerang negara-negara kecil mereka.

Sebagai contoh, dalam isu 1MDB, hutang luarnya yang besar yang dijamin kerajaan secara salah semakin mencekik 1MDB akibat bunga dan riba yang dikenakan. Akhirnya kerajaan terpaksa menanggungnya.

Maksudnya, jika kita mengamalkan penyelesaian cara barat, kita masih tetap berhadapan pukulan tangan kiri yang diajar oleh barat juga.

Cara Islam adalah menyeluruh. Ia memerangi rasuah dan riba. Ia memerangi dadah dan arak. Ia memerangi rogol dan zina. Ia memerangi autokratik dan kebebasan mutlak. Lihat bahawa barat adalah sebaliknya. Ia memerangi satu dan menternak yang satu lagi.

Mana satu pilihan kita untuk negara? PAS secara tegas dan tanpa dolak dalih menyeru kepada penyelesaian Islam untuk isu gejala rasuah dan segala isu dalam negara. PAS menyeru rakyat untuk berani berubah kepada Islam dan bersama mendukung perubahan negara yang lebih menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.

Pemerintah mesti berubah kepada Islam. Rakyat juga mesti berubah. Perubahan rakyat adalah lebih diharapkan walaupun perubahan kerajaan sedia ada tetap dinantikan.

Tiada ulasan: