Peguam dan juga aktivis Orang Asli, Siti Kasim membidas sikap kerajaan negeri Kelantan terutama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam menangani kegiatan pembalakan melampau di pedalaman Gua Musang.
Beliau berkata, operasi syarikat pembalakan di kawasan terbabit menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar itu dan masalah tersebut dibimbangi berterusan selagi kerajaan negeri terus berdolak-dalih.
Paling tidak dapat diterima, ujarnya, apabila Mohd Amar dalam satu program di Selangor baru-baru ini didakwa mengaitkan rambutnya dengan watak dalam animasi Jepun, Dragon Ball.
"Apa masalah dia dengan rambut saya? Isu ancaman pembalakan terhadap Orang Asli tidak perlu sampai serang peribadi. Saya tidak pernah jumpa pun si Amar tu. Dia silaplah taruh nama saya," bidasnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Gua Musang kelmarin.
Menganggap Amar sudah kehabisan modal, Siti menasihatkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli Kelantan itu fokus pada tuntutan sebenar Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Balah yang mendesak supaya aktiviti pembalakan dihentikan buat selama-lamanya bukan sekadar sementara.
"Usah serang peribadi saya, selesaikan tuntutan sebenar Orang Asli kerana mereka juga adalah manusia yang tidak harus terus ditindas," tegasnya.
Dalang
Siti juga menolak tuduhan pihak tertentu kononnya beliau adalah dalang disebalik tindakan nekad Orang Asli di Pos Simpor membuat sekatan menghalang lori balak masuk ke kawasan hutan tersebut.
"Saya telah dituduh sebagai dalang di belakang aksi sekatan ini, sayalah kononnya yang panaskan keadaan suruh Orang Asli buat (sekatan). Ingat Orang Asli itu tidak ada otak untuk memikirkan masa depan mereka?" bidasnya.
Menurut beliau, peranannya hanya membantu daripada segi kelancaran tuntutan Orang Asli di kawasan tersebut supaya mereka tidak dipersalahkan dengan alasan melanggar undang-undang.
"Saya tidak ada campur tangan. Saya hanya membantu untuk menjadikan apa yang Orang Asli nak buat (protes) selepas mereka agak lama berbincang nak buat bantahan. Memang ini (sekatan) adalah cadangan Orang Asli sejak beberapa bulan lalu.
"Itu pun apabila surat dan memorandum yang mereka hantar sebelum ini kepada pihak berkenaan tidak mendapat respon sewajarnya," ujarnya lagi.
Dalam hal berkaitan, aktivis Kelantan Syam Ghaz turut memberitahu Amar menyebut rambut Siti seperti Dragon Ball dalam Majlis Perjumpaan Anak Perantau Pengkalan Chepa di Shah Alam, 1 Oktober lalu.
Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline kelmarin di Pos Simpor mendapati tidak kurang lima jentera berat dibawa keluar pada hari itu sahaja oleh pihak pembalak dari Hutan Simpan Balah ekoran sekatan yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli sejak 27 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan