HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Disember 2016

Amanah nafi bercanggah pendapat isu kehadiran Hadi ke Iran

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menafikan kepimpinan parti itu bercanggah pendapat mengenai kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah di Tehran, Iran, baru-baru ini.
 
Menurut Khalid, kenyataan yang dibuat olehnya semalam adalah pendirian sebenar parti yang tidak menyokong kehadiran Hadi pada persidangan itu, 
 
Ujarnya, kenyataan itu juga mendapat keizinan daripada Presiden, Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebelum diberikan kepada wartawan.
 
"Kenyataan yang saya buat itu adalah kenyataan rasmi yang telah diluluskan oleh Mat Sabu sendiri jadi tidak ada percanggahan. Apa yang FMT laporkan kalau kita baca betul Mat Sabu tidak kata dia setuju atau sokong mengenai hadiran (Datuk Seri) Hadi Awang ke Iran. 
 
"Mat Sabu hanya menjelaskan tentang program yang diadakan dan latar belakang dan ia merupakan program tahunan biasa tetapi tidak kata dia sokong kehadiran Hadi," katanya menerusi panggilan telepon hari ini.
 
Mat Sabu semalam berkata kunjungan Hadi merupakan kebiasaan setiap tahun.
 
Malah kata Mat Sabu, kehadiran Hadi itu tidak ada kaitan dengan krisis di Syria dan persidangan muktamar di Tehran itu bertujuan mengeratkan perpaduan antara mazhab di mana tarikh Rabiulawal mempunyai pengertian tersendiri.
 
Manakala Khalid dalam kenyataannya mengkritik kehadiran Hadi ke Iran tatkala rakyat Syria di Aleppo dibunuh. 
 
Iran dikaitkan sebagai negara yang bersekongkol dengan regim Bashar Assad dalam konflik di Syria. 
 
"Kalau kata ada percanggahan kenapa semua (pemimpin Amanah) tidak pergi (ke Iran). Mat Sabu pun tidak pergi. 
 
"Tajuk berita itu kata (Mat Sabu) sokong Hadi pergi. Tapi bila saya baca isi kandungan tidak ada pun kata sokong, hanya menjelaskan tentang pendirian itu," katanya lagi.
 
Sebelum ini, Hadi menerima kritikan beberapa terhadap lawatannya ke Iran kerana menganggap Tehran bersekongkol dengan regim Bashar Assad dalam konflik di Syria.
 
Hadi dalam reaksi terbarunya menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) berikutan kunjungannya ke persidangan itu terus mendapat kecaman daripada beberapa pihak.
 
 

Tiada ulasan: