shahbudindotcom
Selama
ini Presiden Pas, Hadi Awang boleh dikira pemimpin politik yang paling
pasif dalam memberi reaksi, baik mengenai dirinya, mahupun yang
melibatkan parti.
Malah dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan negara, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man nyata lebih rajin bersuara.
Hadi
selalunya lebih senang berdiam diri atau kadangkala hanya Setiausaha
Politiknya, Ahmad Shamsuri Mokhtar saja yang menuturkan bicara.
Dalam
isu hubungannya yang semakin akrab dengan Najib Razak, sama ada setelah
potretnya sedondon berbaju Melayu merah jambu atau sepentas di Stadium
Tasik Titiwangsa membela Rohingya bersama Perdana Menteri menjadi bualan
di sana sini, Hadi lebih gemar mendiamkan diri berbanding menitipkan
suaranya.
Lantaran
itu, kenyataan media oleh Hadi hari ini yang secara tiba-tiba,
antaranya menyentuh mengenai dedak, kerusi pilihanraya, prinsip yang
ingin dipertahankan, hubungan dengan DAP dan Amanah, kerjasama dengan
lain-lain parti, menolak tanggapan tidak berminat menukar kerajaan dan
kekal menentang rasuah serta penyelewengan BN, tentunya terlihat sedikit
menghairankan.
Mengapa tiba-tiba saja beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Adakah
Hadi sedang cuba melindungi kesilapannya kerana hadir ke Iran baru-baru
ini di sebalik Aleppo sedang bergolak dan bermandi darah?
Mungkinkah
pula beliau sedang tidak selesa terhadap perkembangan Akta 355 yang
diumumkan oleh Ahmad Maslan semalam bahawa ia kini sudah menjadi usul
kerajaan dan akan diambil alih oleh Jamil Khir Baharom untuk
dibentangkan di Parlimen?
Oleh
kerana ia sudah menjadi usul kerajaan dan parti-parti komponen BN terus
menunjukkan penolakan, maka ia dengan sendirinya memberi "lesen"
kepada kerajaan untuk menangguhkan lagi usul itu sehingga benar-benar
wujudnya kesepakatan?
Bolehkah
wujud kesepakatan sedangkan sudah ada pemimpin komponen BN yang
berikrar akan meletakkan jawatan serta di Sabah dan Sarawak pula lebih
keras lagi penolakannya?
Jika begitu, bermakna usul 355 akan terus tertangguh lagi tanpa nokhtah dan Hadi sedang dipermain-mainkan oleh Najib?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan