HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Disember 2016

Tanah adat: Kini giliran penghulu dikecam Orang Asli


Penghulu didakwa bersekongkol dengan pembalak dan hanya menjaga kepentingan peribadi


pembalakan_oran-asli_joas_600


PETALING JAYA: Selepas membantah kerajaan negeri dan jabatan perhutanan kerana membenarkan aktiviti pembalakan di Gua Musang, kini giliran penghulu pula dikecam Orang Asli.

Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mendakwa para penghulu membelakangkan kepentingan Orang Asli apabila mempertahankan aktiviti pembalakan yang dibenarkan kerajaan Kelantan.

“Penghulu tidak layak bercakap isu Orang Asli kerana mereka tidak belajar tentang hak dan perjuangan akar umbi,” kata Setiausaha JOAS, Nasir Dollah.

“Mereka juga tidak pernah turun ke lapangan sejak isu blockade hangat diperkatakan media.

“Saya bersimpati dengan nasib penghulu yang langsung tidak ada maruah dan jati diri sebagai Orang Asli.

“Senang saja bagi saya, kalau mereka tak sayang akan hak Orang Asli, baik duduk diam dalam bilik, tak perlu keluar rumah,” katanya kepada FMT.

Nasir menjawab Penghulu Pos Hendrop, Bidi Ronggeng yang mengecam tindakan Orang Asli membina semula sekatan di Hutan Simpan Balah sebagai tindakan tidak bermaruah.

Nasir mencabar para penghulu supaya mengambil tindakan sekiranya benar tindakan mereka bertentangan dengan undang-undang.

“Saya nak tegaskan disini, akar umbi tidak sebodoh penghulu dan kerana sifat merekalah kami daripada dulu menderita tanpa bicara.

“Sedangkan kebangkitan kami adalah keperluan Orang Asli bukan untuk saya seorang.

“Kami sedia berundur sekiranya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan, jika tidak kami akan bina sekatan sampai kiamat,” katanya.

November lalu lebih 47 Orang Asli diberkas jabatan perhutanan negeri dan sekatan dirobohkan dalam usaha untuk membuka laluan kepada pembalakan.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan menyebabkan kemusnahan sumber kehidupan mereka, serta sejarah asal nenek moyang dan kubur ahli keluarga.

Tiada ulasan: