shahbudindotcom
PERJANJIAN KERJASAMA
PAKATAN HARAPAN
DAN
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA
13 Disember 2016
Dengan
ini memeterai satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Kerjasama
Pakatan Harapan – PPBM mengenai persetujuan-persetujuan bersama oleh
keempat-empat parti di dalam perkara-perkara seperti yang terkandung
dalam dokumen ini.
Mewakili PAKATAN HARAPAN dan
PPBM kami berjanji bahawa persetujuan-persetujuan ini akan dihormati,
didokong dan dilaksanakan bersama oleh parti-parti kami selagi
perjanjian ini berkuatkuasa dan persetujuan-persetujuan di dalamnya
adalah mengikat keempat-empat parti.
DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP
HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH TAN SRI
DATO' HJ MUHYIDDIN
HJ MOHD YASSIN
Presiden PPBM
Ditandatangani
pada hari ini 13 Disember 2016 Masehi bersamaan 13 Rabi'ul Awwal 1438
Hijrah di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
*PERJANJIAN*
BAHAWASANYA
Pakatan Harapan (yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH); dan
PPBM dengan ini bersetuju dan komited akan perkara-perkara berikut:
1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:
i.
Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi
Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai
di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan
istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan
sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;
ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan
iii.
Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan
penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan
Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat
antarabangsa.
2. Memperjuangkan Agenda
Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi rakyat dengan berpaksikan
nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan dan
tatakelola yang baik.
3. Meletakkan satu calon
sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan - PPBM di dalam sesuatu
pilihanraya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi ditentukan
melalui perundingan di antara kedua pihak berdasarkan prinsip
kebolehmenangan (winnability).
4. Berunding
dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk memastikan
seboleh mungkin satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang bagi
melawan Barisan Nasional.
5. Mewujudkan
gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya Umum ke
14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya.
6. Menggunakan manifesto bersama dalam Pilihanraya Umum ke 14.
7. Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, menggunakan logo bersama dalam Pilihanraya Umum ke 14.
8.
Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk membincangkan
pembahagian kerusi pilihanraya, manifesto bersama dan merangka gerakerja
pilihanraya secara bersama.
9. Atas semangat
setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini
hendaklah mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang
boleh menjejaskan hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan
sebarang pertikaian menerusi perundingan bersama.
Dengan
termetrainya perjanjian ini bermakna Pakatan Harapan menjadi gabungan
yang lebih besar dan boleh diyakini untuk mengambil alih pentadbiran
negara ini daripada BN.
Rakyat
kini boleh menaruh harapan dan pergantungan kepada sebuah gabungan yang
benar-benar serius untuk menyelamatkan negara ini dengan persetujuan
antaranya, pertandingan satu lawan satu serta penggunaan manifesto dan
logo yang satu juga.
Sekiranya
perkara No 4 dapat dijayakan dengan berkesan kepada parti-parti yang di
luar Pakatan Harapan, bermakna peluang untuk menumbangkan BN dan
menyingkirkan Najib Razak secara automatik menjadi lebih cerah lagi.
Oleh
itu, terserah kepada parti-parti di luar Pakatan Harapan yang masih
menggelarkan diri mereka sebagai pembangkang untuk membuat pilihan yang
seterusnya sama ada sedia berunding dengan kepala yang dingin dan hati
yang terbuka atau kekal dengan keras kepala sebagai blok ketiga.
Harus
diingat, dalam keadaan sekarang, enggan menyertai gabungan ini hanya
menjadikan mereka dengan sendirinya semakin mengecil dan terpencil.
Harus
diingat juga, dalam arus penolakan rakyat yang makin membuak-buak,
menjadi blok ketiga belum tentu menjanjikan peluang menjadi "king
maker", bahkan mungkin terhumban sama ke lembah yang hina.
Oleh, buatlah pilihan yang mulia, jangan tunggu lama-lama dan jangan juga terlalu banyak berdrama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan