shahbudindotcom
Selepas dilantik sebagai Pengerusi Felda, Shahrir Samad, meskipun mengatakan hasratnya memulihkan agensi persekutuan itu yang dilanda pelbagai masalah, kecenderungannya lebih terlihat seperti ingin menyelongkar dan mendedahkan satu demi satu kesalahan Isa Samad.
Sebelum
ini, Isa adalah Pengerusi Felda dan juga Pengerusi Felda Global
Ventures Bhd atau FGV, cabang perniagaan agensi tersebut.
Bagaimanapun,
Najib Razak yang menjaga Felda kini bertindak memisahkannya dengan
melantik Shahrir sebagai Pengerusi Felda, manakala Isa hanya dikekalkan
di FGV sahaja.
Sebaik
dilantik, langkah pertama yang diambil Shahrir ialah mahu menjual semua
aset dan hartanah Felda di luar negara, termasuk dua hotel di London
yang dibeli oleh Isa beberapa tahun dahulu.
Alasan
penjualan itu ialah untuk mengukuhkan aliran tunai Felda yang dikatakan
semakin terjejas dan kekeringan wang kebelakangan ini.
Secara langsung dan tidak langsung, langkah penjualan aset dan hartanah itu seolah-olah menunjukkan pembeliannya yang dilakukan Isa sebelum ini adalah keputusan yang salah dan tidak mendatangkan faedah maksimum kepada Felda dan para peneroka.
Terbaru
ini, Shahrir mempertikaikan pula ke mana perginya wang RM4.3 bilion
yang merupakan lebihan daripada perolehan penyenaraian FGV di Bursa
Saham.
"Felda
mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV yang merupakan harta bisnes
Felda. Daripada jumlah itu, kita belanjakan RM1.7 bilion sebagai durian
runtuh kepada peneroka di mana setiap keluarga memperolehi RM15 ribu
dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.
"Jadi, RM4.3 bilion itu mana pergi?" kata Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.
Sekali
lagi, cara Shahrir mempersoalkan ke mana perginya wang RM4.3 bilion itu
memperlihatkan seperti beliau mempertikaikan cara Isa berbelanja ketika
bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengetuai Felda sebelum ini.
Apa lagi agaknya yang akan diselongkar oleh Shahrir selepas ini?
Isu
berkaitan perbelanjaan dan ke mana perginya wang Felda sudah banyak
diperkatakan sebelum ini. Rafizi Ramli dan Mazlan Aliman adalah antara
mereka yang aktif mendedahkan pelbagai pembaziran dan salah laku dalam
agensi tersebut sejak bertahun-tahun lamanya.
Tetapi,
semua pendedahan mereka seolah-olah tidak mendatangkan apa-apa kesan
kerana Isa yang mengetuai Felda dan FGV bagaikan ada kebebasan serta
mendapat restu dan "dilindungi" oleh Najib untuk berbelanja apa saja
mengikut perkiraannya.
Itulah
yang akhirnya menyaksikan banyak pembelian hartanah, hotel dan
pengambil-alihan syarikat, baik di dalam mahu pun di luar negara,
begitu aktif dijalankan semasa Isa mengetuai Felda dan FGV.
Kenapa kini Shahrir bertindak seperti sedang mencari satu demi satu salah Isa?
Oleh
kerana Felda terletak di bawah tangggungjawab dan pengawasan Perdana
Menteri, bolehkah dipercayai tindakan Shahrir itu semata-mata atas
keputusannya sendiri atau setelah mendapat restu dan lampu hijau
daripada Najib sendiri?
Tidakkah
ketika Isa membuat semua pembelian dan berbelanja banyak dahulu, beliau
juga perlu mendapat restu dan persetujuan daripada Najib?
Apakah Najib kini mula menjauhi Isa dan sedang menggunakan Shahrir untuk mencari segala salah dan silap Pengerusi FGV itu?
Apa pula kesudahannya nanti setelah sekian banyak kesalahan Isa didedahkan?
Apakah
kedudukan Isa sedang dalam bahaya dan langkah demi langkah yang
dilakukan Shahrir sekarang adalah percaturan Najib untuk meminggir dan
menyingkirkan terus Isa daripada FGV?
Ataukah tindakan mencari salah Isa itu
merupakan "permainan halus" Shahrir bersama Najib untuk menerus dan
menghalalkan pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation di
Indonesia yang sedang menjadi pertikaian dan kebimbangan bukan saja para
peneroka, tetapi juga rakyat seluruhnya?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan