Apabila
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mensasarkan yang PAS mahu
menang sekurang-kurangya 40 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang, ada pihak
yang pandang rendah dan memperlekehkan kenyataan itu.
Ini
termasuklah kenyataan dari sebuah parti yang usianya baru setahun jagung. Parti
yang belum teruji nasibnya itu pun belum tentu samada akan masih kekal
atau terus terkubur selepas PRU nanti namun bernafsu mahu meramalkan nasib PAS
pada PRU nanti.
Ada
sesetengah pihak pula berpendirian kiranya PAS bersendirian tanpa bantuan
mana-mana kelompok atau parti pembangkang lain, sasaran itu mustahil dicapai
kerana menurut rekod pencapaian PAS hanya meningkat apabila PAS berkerjasama
dan berpakat dengan parti-parti pembangkang lain.
Tambah
ada pula yang menisbahkan DAP sebagai faktor penting pencapaian PAS, kiranya
PAS tidak berkerjasama dengan DAP besar kemungkinan PAS akan berkubur dan tidak
mustahil hilang kuasa di Kelantan.
Dalam
negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan bersuara siapa sahaja bebas dan
berhak memberi pandangan. Tepat atau tidak tepat itu terpulanglah kepada rakyat
untuk menentukan kelak.
Sesungguhnya
kemampaun PAS bertahan walaupun menghadapi krisis besar pasca Muktamar
pemilihannya di Kuala Selangor 2015 dahulu adalah bukti bahawa PAS sebuah parti
yang sarat dengan ahli-ahli yang berdisiplin dan teguh mendukung pucuk
pimpinannya. Faktor ini tidak pula mahu diambil kira oleh para pengkritik PAS
sebagai bukti betapa teguhnya PAS sebagai sebuah parti politik.
Dan
kini walaupun telah terputus hubungan dengan DAP dan Pakatan Rakyat pun
berkubur, dan dalam pada itu lahir pula anak jelmaan DAP iaitu Pan kononnya
untuk menggantikan peranan PAS, PAS terus segar bernyawa malah berterusan
mencatatkan penambahan keahlian dengan pembukaan cawangan-cawangan baru di
seluruh negara.
Dengan
kekuatan ini layak sangat Presiden PAS mensasarkan pencapaian yang lebih
positif buat partinya, mengapa pihak lain perlu gusar dan gelabah?
Sepatutnya
DAP atau anak emasnya Pan, nyatakanlah pula sasaran masing-masing. Pan
umpamanya yang ahlinya seluruh negara pun terlalu kecil bilangannya berbanding
PAS sudah bernafsu mengisytiharkan akan menawan Kelantan dari PAS, tiada pula
mana-mana pihak komen, atau memang tidak minat komen racauan sebuah parti
nyamuk sepertinya.
PAS
ditendang, diterajang, dipulau, difitnah mahu bergabung dengan Umno dan
berbagai lagi, yang sepatutnya dengan tindakan dan tuduhan seumpama itu PAS
sudah lama berkecai dan pupus, namun realitinya PAS terus kekal hari ini dan
bakal bersama beberapa ratus NGO lain menganjurkan sebuah perhimpunan umat
Islam terbesar dalam sejarah negara pada 18 Febuari ini di Dataran Merdeka.
Yang
sebenarnya tindakan PAS menentukan haluannya sendiri, menanam sikap bersedia
berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menghormati dan menerima dasar dan
prinsip perjuangan Islamnya itulah yang meletakkan PAS ditahap menjadi tumpuan
semua pihak.
Tidaklah
keterlaluan dikatakan berbanding parti-parti pembangkang lain, hari ini PAS lah
yang paling konsisten dalam perjuangannya, dengan jentera yang lengkap dan
terlatih serta memiliki cawangan dihampir seluruh pelusuk negara. Suka tidak
suka PAS lah parti pembangkang yang paling kukuh hari ini.
Sasaran
40 kerusi parlimen dalam keadaan sedimikian bukanlah mustahil buat PAS, dan
inilah sebenarnya yang dibimbangi para musuh dan pengkritiknya.
Dengan
kemenangan 40 kerusi Parlimen itu menurut Presiden PAS lagi PAS turut mampu
kekal berkuasa di Kelantan dan kembali menawan Terengganu dan Kedah selain
kekal berkongsi kuasa di Selangor.
PAS
yakin dengan konsistennya ia membawa dan mendaulatkan perjuangan Islam, menegur
kemungkaran dan mengemukakan penyelesaian dan alternatif buat permasalahan
ummah selain kekal memaparkan corak kepimpinan yang telus dan bersih, rakyat
akan menerima calon-calon PAS berbanding mana-mana calon parti-parti lain.
Dalam
PRU 1999 umpamanya, walaupun PAS berkerjasama dengan parti-parti lain termasuk
PKR dan DAP, akan tetapi kerjasama berkenaan tidak banyak membantu prestasi PAS
ketika itu. Malah parti-parti berkenaan bermaslalah meraih kemenangan
berbanding PAS. Ketika itu PAS menang 27 kerusi Parlimen, DAP cuma 10 dan PKR
(ketika itu dikenali PKN) 5. Diperingkat Dewan-dewan Negeri pula PAS menang 98
kerusi dan menawan Kelantan dan Terengganu, DAP cuma 11 dan PKR 4.
Di
Selangor pada tahun 1999, PAS menang 4 kerusi DUN manakala DAP dan PKR
masing-masing satu, dan buat pertama kali dalam sejarah wakil PAS menjadi Ketua
Pembangkang DUN.
Tahun
1999 telah menyaksikan kebangkitan gelombang undi protes Melayu terhadap BN dan
Umno, manakala pengundi bukan Melayu taat pada BN. Kerana itu pada tahun
berkenaan Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh tertendang keluar dari Parlimen
apabila gagal di kerusi masing-masing.
Tanpa
banyak bantuan parti lain 18 tahun lalu, atas ledakkan kebangkitan undi protes
Melayu, PAS cemerlang dengan 27 kerusi Parlimen. Dengan pelbagai petunjuk
negatif terhadap BN dan Umno hari ini, tidak mustahil PAS boleh mengulangi
pencapain itu malah dengan peningkatan yang lebih baik.
40
kerusi bermakna penambahan cuma 13 kerusi dan ini sesuatu yang tidak mustahil.
Rata-rata
masyarakat Melayu Islam hari ini telah berputus asa dan kecewa dengan kegagalan
Umno dan BN. Mereka kelihatan sudah bersedia bertukar arah. Kekalutan dan
kecelaruan dipihak pembangkang tidak menyukarkan pilihan mereka kerana ternyata
PAS muncul sebagai satu-satu parti yang paling jujur dan istiqamah
mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan berbanding yang lain.
Jika
orang Melayu akan beralih arah pada PRU akan datang mereka pasti memilih parti
yang lebih baik dari BN dan Umno, parti yang bakal memperjuangkan nasib dan
masa depan mereka dunia dan akhirat. Ciri berkenaan sudah pasti tiada dalam DAP
apatah lagi Pan.
Lantaran
itu bagi saya sasaran 40 kerusi Parlimen yang dilontarkan Presiden PAS itu
adalah sesuatu yang mampu tercapai, samada PAS nanti berkerjasama dengan
parti-parti lain, atau dalam ketidaksediaan mereka menghormati PAS, PAS
bersendirian, rakyat khususnya pengundi Melayu Islam sudah ada pilihan dalam
hati dan kepala masing-masing.
Biarlah
rakyat yang menentukan dengan izin Allah swt nanti, yang pastinya PAS akan
terus bergerak ke hadapan memartabatkan perjuangan Islam kerana itulah kehendak
majoriti rakyat pada hari ini. roslansms@gmail.com

Tiada ulasan:
Catat Ulasan