SHAH ALAM:
Kira-kira 100 wakil media tempatan dan antarabangsa berkumpul di
kompleks mahkamah di sini seawal 7 pagi bagi membuat liputan mengenai
penahanan reman suspek wanita berhubung pembunuhan warga Korea Utara di
negara ini pada Isnin, yang dilaporkan sebagai abang kepada pemimpin
Korea Utara.
Beberapa wakil media tempatan juga
berkumpul di Mahkamah Majistret Sepang apabila menerima maklumat
kemungkinan suspek akan direman di mahkamah itu.
Tindakan pihak polis yang ‘mengunci
rapat mulut’ berhubung lokasi suspek akan direman menyebabkan warga
media terpaksa menunggu di kedua-dua lokasi berkenaan.
Pada satu ketika warga media di Kompleks
Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dikatakan ‘menerima
maklumat’ kononnya suspek ‘telah tiba’ di mahkamah sehingga mereka
berkejaran untuk mendapatkan posisi yang baik bagi merakamkan wajah
wanita warga asing terbabit.
Bagaimanapun, selepas menunggu kira-kira
empat jam, warga media mula resah apabila kelibat suspek terbabit
langsung tidak kelihatan sehinggalah menerima perkhabaran bahawa dua
suspek wanita berkenaan telah pun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Sepang bagi mendapatkan perintah reman.
Isnin lalu, Kim Jong-nam, abang tiri
kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilapor berada di klia2 pada
pukul 8 pagi untuk menaiki pesawat ke Macau apabila seorang wanita
didakwa menutup mukanya dengan kain yang diletak racun.
Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol dilapor mati dalam perjalanan ke hospital.
Beberapa warga media turut kelihatan hampa apabila terlepas membuat liputan prosiding reman di IPD Sepang.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah
Mat mengesahkan prosiding reman tersebut dan berkata kedua-dua wanita
berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Sementara itu seorang wartawan daripada
sebuah akhbar perdana Korea Selatan yang hanya mahu dikenali sebagai
Park, 36, berkata pembunuhan Kim Chol menjadi tajuk utama berita kerana
rakyat Korea Selatan mahu mengetahui lebih banyak perkembangan kes
tersebut.
Park yang tiba dengan jurufotonya
semalam berkata mereka akan membuat liputan kes berkenaan sehingga mayat
mangsa dibawa balik ke Korea Utara.
Seorang wartawan Jepun, Hiroshi
Sukagawa, 23, yang tiba di Malaysia pada Selasa berkata kes tersebut
mempunyai nilai berita tinggi buat rakyat Jepun.
Beliau yang bekerja untuk Tokyo
Broadcasting System (TBS) berkata rakyat Jepun berminat dengan berita
mengenai Korea Utara kerana kedua-dua negara terletak berdekatan antara
satu sama lain.
“Walaupun kami baru mengetahui mengenai
berita ini dan tidak mempunyai banyak maklumat mengenainya, kami sedang
berusaha memperolehnya.
“Rakyat Jepun begitu berminat untuk
mengetahui mengenai Korea Utara terutama berkaitan pemimpin mereka
kerana pemimpin mereka menjadi ancaman kepada negara kami,” katanya.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan