TELUK INTAN :Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahim
mengingatkan anggota parti itu serta Barisan Nasional (BN) agar tidak
terlalu gembira dengan tindakan beberapa pemimpin pembangkang keluar
parti.
Beliau berkata sekalipun tindakan
pemimpin pembangkang terbabit dilihat sebagai bonus kepada UMNO dan BN,
masih ada tugas penting yang harus diberi perhatian.
“Apa yang penting kuatkan parti dan
buktikan kepada rakyat bahawa BN merupakan sebuah parti yang berkhidmat
untuk membangunkan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia 2017 di Chenderong
Balai di sini hari ini.
Tajuddin yang juga Timbalan Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata bagi mengekalkan sokongan
rakyat, BN selaku peneraju kerajaan harus memperhebat pembangunan untuk
rakyat.
Mengulas tindakan empat pemimpin DAP
Melaka yang bertindak keluar parti, beliau berkata keputusan mereka itu
menunjukkan kepimpinan Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng, sudah tidak
boleh diterima oleh sebahagian anggota DAP.
“Selama ini mungkin mereka memendam rasa
dan akhirnya tidak boleh tahan lagi lalu mengambil keputusan keluar
parti. Di sini sudah cukup menunjukkan bahawa DAP bukanlah hebat serta
kuat malah menyangkal dakwaan bahawa mereka mendapat sambutan hebat,”
katanya.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan