PUTRAJAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly
hari ini tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan bersabit
dakwaan memiliki kekayaan 'luar biasa' yang didedahkan seorang pemimpin
sebelum ini.
Adam, 29, hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) di sini, pada kira-kira jam 8.15 pagi dengan diiringi dua pegawai
peribadinya.
Beliau keluar dari bangunan berkenaan selepas empat jam memberi keterangan.
Mengulas mengenai siasatan yang dilakukan SPRM, pemuda itu berkata
siasatan merangkumi pelbagai perkara termasuk punca pendapatannya.
Beliau dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana melakukan siasatan secara telus dan sangat profesional.
Kontroversi kekayaan Adam bermula selepas ia 'dibongkar' pemimpin
Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos, pada November tahun
lalu.
Bagi membuktikan dakwaannya itu, Jamal turut membawa beberapa orang
wartawan menaiki helikopter bagi meninjau kediaman mewah milik Adam di
Ampang yang dianggarkan berjumlah lebih RM7 juta.
Adam bagimanapun memberitahu pemberita rumah mewahnya itu dibeli dengan harga RM1 juta menerusi proses lelongan bank.
Ekoran pendedahan itu, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo
membuat laporan kepada SPRM menggesa siasatan dilakukan terhadap
kekayaan luar biasa pada usia muda Adam.
Ismail berkata, melihat kepada sejarah keluarga dan pekerjaan, agak
mustahil untuk Adam memiliki kekayaan luar biasa seperti sekarang iaitu
mempunyai banglo dan pelbagai kereta mewah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan