Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: ADUN Salor, Datuk Husam Musa mempertahankan ucapannya ketika
menyampaikan ceramah di Selising, 6 Februari lalu bahawa Affin Bank
telah digunakan untuk penyaluran dana kepada PAS.
"Saya mempertahankan apa yang saya ucapkan dalam ceramah saya di
Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 6 Februari lalu," katanya menerusi
satu posting di laman Facebook beliau.
Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu akan mengambil tindakan undang-undang
terhadapnya ekoran mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Mengulas bersabit perkara itu, kata Husam, beliau yakin tindakan
mahkamah mungkin satu cara untuk membuktikan kebenaran isu yang
dibangkitkan.
"Tindakan mahkamah mungkin satu cara untuk membuktikan kebenaran isu berbangkit.
"Saya berpendapat, kenyataan Datuk Timbalan Presiden PAS adalah tanpa penelitian.
"Kemungkinan beliau tidak tahu hujung pangkal isu berbangkit.
"Saya tidak pasti kenyataan beliau berkenaan tindakan mahkamah adalah
kenyataan peribadi atau pendirian rasmi PAS," katanya lagi.
Semalam, Tuan Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Husam bahawa
PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno yang didakwa disalurkan
menerusi akaun Affin Bank.
Tegas Tuan Ibrahim, dakwaan Husam yang juga bekas Naib Presiden PAS
adalah sambungan rantaian fitnah yang pernah dibuat oleh Sarawak Report.
Justeru kata Tuan Ibrahim, pihak guaman PAS akan meneliti tuduhan
berkenaan dan mengemukakan saman fitnah terhadap Husam dalam masa
terdekat.
Husam beberapa hari lalu dalam ceramahnya mendakwa mengetahui maklumat
mengenai dana RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada PAS.
Dalam ceramahnya, Husam mendakwa ada dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.
Husam membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Husam yang pernah menjadi naib presiden PAS antara 2011 hingga 2015,
kini menyertai Amanah, selepas dipecat daripada PAS atas dakwaan salah
laku.
Isu RM90 juta mula dibangkitkan oleh portal Sarawak Report pada Ogos tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan