KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menepis dakwaan Korea Utara bahawa Malaysia sengaja melengahkan proses penghantaran pulang mayat abang pemimpin negara itu, Kim Jong-nam.
Sebaliknya, tegas beliau, selagi ujian deoksiribonukleik (DNA) daripada
waris tidak diperolehi bagi melengkapkan siasatan, pihak Korea Utara
harus mengikuti peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh
negara ini.
Beliau turut menekan bahawa pihak Korea Utara boleh mendapatkan nasihat
daripada peguam mereka sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan polis.
“Peguam mereka boleh menasihati mereka. Kita mempunyai peraturan di
Malaysia...semasa di Malaysia, semua orang perlu mematuhi undang-undang
dan peraturan negara ini termasuk Korea Utara,” kata kepada Bernama hari
ini.
Beliau mengulas kenyataan Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol,
semalam yang mendakwa Malaysia sengaja menolak permohonan mereka untuk
membawa pulang mayat Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim
Jong-un.
Kenyataan Kang Chol kepada pihak media itu dibuat di pekarangan
Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL)
kira-kira pukul 11.45 malam tadi.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata
tuntutan terhadap mayat diberi keutamaan kepada waris terdekat bagi
memudahkan proses pengecaman.
Bagaimanapun, setakat ini tuntutan hanya diterima daripada pihak kedutaan.
Isnin lepas, Jong-nam, 46, yang membawa dokumen menggunakan nama Kim
Chol, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)
menunggu penerbangan ke Macau apabila seorang wanita menyembur sejenis
cecair dan menggosok mukanya dengan kain.
Mangsa kemudian ke kaunter perkhidmatan klia2 untuk memohon bantuan
perubatan selepas mengadu tidak sihat tetapi dilaporkan meninggal dunia
dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan