PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan 10
pengundi berdaftar di kawasan pilihan raya itu tidak boleh mencabar
inkuiri tempatan berhubung persempadanan semula yang dicadangkan bagi
kawasan-kawasan parlimen di Kuala Lumpur.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan kebenaran
bagi permohonan semakan semula kehakiman yang didapatkan oleh Nurul
Izzah dan 10 yang lain itu daripada Mahkamah Tinggi pada 3 Januari.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid
membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh Peguam Negara (AG)
dan berpendapat ada merit dalam rayuan itu.
Hakim Umi Kalthum yang membuat keputusan rayuan bersama Hakim-hakim Tan
Sri Idrus Harun dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim kemudian mengetepikan
perintah Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran berkenaan kepada Nurul
Izzah dan 10 yang lain.
Dengan keputusan ini, Mahkamah Tinggi tidak boleh mendengar merit
tentang permohonan semakan kehakiman yang dijadualkan pada 15 Feb.
Terdahulu, Hakim Umi Kalthum menolak bantahan awal dikemukakan Nurul
Izzah terhadap rayuan AG. Panel itu kemudian mendengar hujah tentang
merit rayuan itu.
Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Nurul Izzah Anwar dan 10
pengundi berdaftar sementara Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet
Singh bertindak bagi pihak AG.
Nurul Izzah dan 10 pengundi itu telah memfail permohonan semakan kehakiman itu pada 11 November tahun tahun lepas.
Pada 3 Januari, mereka mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi memulakan semakan kehakiman.
Tidak puas hati dengan keputusan itu, AG memfail rayuan di Mahkamah Rayuan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan