Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Penglibatan 'agresif' Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
pembangkang adalah faktor terbesar yang mendorong empat wakil rakyat DAP
Melaka keluar parti.
Timbalan Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Ishak mendakwa,
langkah keluar parti itu adalah tindakan 'kemuncak' selepas beberapa
siri ketidakpuasan sebilangan ahli terhadap parti teraju dinasti Lim
itu.
"Peletakan satu MP (Ahli Parlimen) dan tiga ADUN di Melaka ini adalah
tamparan paling hebat dalam sejarah 50 penubuhan DAP di Malaysia.
"Ini berlaku disebabkan oleh kerana hilangnya tahap kepercayaan maksima
terhadap kepimpinan tertinggi DAP khususnya bahawa dinasti Lim sudah
menjadi liabiliti kepada DAP.
"Salah satu faktor terbesar adalah berkaitan dengan penglibatan Dr
Mahathir. Sebenarnya sejarah kemusnahan DAP bermula 3 Disember 2016
apabila Tun Dr Mahathir hadir dalam keadaan luar jangkaan tanpa jemputan
rasmi ke Konvensyen Nasional DAP.
"Berlakunya kemerosotan tahap kepercayaan, bukan saja ahli dan
pemimpin, tetapi kaum Cina yang sebelum ini begitu tegar menyokong DAP
yang dianggap bumbung tempat berteduh," katanya kepada Antarapos.
Semalam, empat wakil rakyat DAP Melaka mengumumkan keluar parti selepas mempertimbangkan keputusan itu secara wajar.
Tindakan keempat-empat mereka itu ekoran mendakwa DAP telah menyimpang daripada matlamat asalnya.
Mereka ialah, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him serta Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; Lim Jack Wong (Bachang)
dan Chin Choong Seong (Kesidang).
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP, Liew Chin Tong semalam
menyifatkan tindakan keluar parti oleh empat wakil rakyat dari Melaka
itu yang kononnya kecewa dengan polisi parti yang kini berhubungan baik
dengan Dr Mahathir, sebagai alasan semata-mata.
"Alasan mereka keluar parti adalah kerana tidak bersetuju DAP
berkerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Tun Dr Mahathir
(Mohamad) namun itu hanya alasan mereka sahaja.
"Parti lebih besar daripada individu... kami akan bekerja dengan lebih
kuat bagi memastikan DAP akan menang kerusi yang mereka (empat wakil
rakyat itu) pegang sekarang (pada pilihan raya umum ke-14 nanti)," petik
kata Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam satu sidang media
semalam.
Mengulas bersabit perkara itu, Rahmad yang juga bekas ahli DAP berkata,
parti itu akan hanyut dalam ketidaktentuan jika terus bekerjasama
dengan musuh dalam selimut.
"Bagi pandangan masyarakat Cina yang kita boleh gambarkan di Pulau
Pinang ini, selagi DAP bekerjasama dengan musuh dalam selimut, maka
selagi itulah DAP tidak akan ke mana.
"Mereka akan tenggelam dengan sandiwara politik mereka bersama menjalin
hubungan semata-mata untuk mendapat nilai komersial jawatan politik,"
katanya merujuk kepada perjanjian sulit antara Lim Kit Siang dengan Dr
mahathir sebagaimana yang didedahkan bekas pemimpin DAP, Tunku Aziz
Tunku Ibrahim sebelum ini.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, perkembangan yang berlaku ini memberi 'kebaikan' khususnya dalam konteks pengundi Cina.
"Saya nak mengatakan, apa yang berlaku pada DAP hari ini sebenarnya
atas geopolitik kaum Cina itu sihat. Sihat dalam erti kata mereka boleh
menilai sejelas-jelasnya adakah kepercayaan dan mandat yang sama perlu
diberikan kepada DAP menjelang PRU14," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan