KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak pernah
menetapkan syarat bahawa hanya boleh melakukan tugas dengan individu
tertentu sahaja sekiranya dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) yang baru bagi penggal 2017-2021.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) itu berkata beliau
boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dan tidak terikat dengan
individu tertentu dalam melaksanakan tugas.
“Saya di tanya siapa gandingan saya dan sama ada saya boleh bekerja
dengan si polan si polan. Suka saya tegaskan salah satu misi saya ialah
membawa keharmonian, kerja sepasukan dan menghormati peranan semua exco
yang dipilih.
“Justeru saya tidak terikat dengan sesiapa dan boleh bekerja dengan
sesiapa sahaja. Perwakilan bebas memilih siapa saja. Adalah buruk bagi
FAM kalau kita mula berpuak-puak, bergaduh sesama ahli gabungan,
bergaduh dengan kementerian dan sebagainya.
“FAM perlu tenang dan kekalkan sifat saling hormat-menghormati,” kata
Annuar yang dipetik daripada laman sosial, Facebook di sini hari ini.
Calon Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi sebelum ini
memberitahu perwakilan yang bakal mengundi dalam pemilihan 25 Mac ini
agar tidak memilih dirinya jika mereka menolak calon presiden, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) itu
menjelaskan, beliau lebih selesa bekerjasama dengan Tunku Mahkota Johor
(TMJ) berbanding pencabarnya, Annuar.
Yusoff bagaimanapun mengakui, belum memikirkan apakah tindakan bakal
diambil andai ditakdirkan beliau dan Annuar memenangi pertandingan
tersebut kerana tidak pernah bekerjasama dengan Penasihat Kafa itu.
Selain Yusoff, dua lagi calon yang Timbalan Presiden FAM adalah
penyandang jawatan, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Naib Presiden Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan