KUALA LUMPUR: Sebarang tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan
mana-mana negara asing berhubung kes kematian Kim Jong-nam, abang
pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, Isnin lepas merupakan
penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata demikian dalam kenyataan
sebagai jawapan balas kepada Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang
Chol yang mengedarkan kenyataan akhbar mengandungi beberapa tuduhan
terhadap siasatan kematian Kim Jong-nam.
"Tuduhan tersebut bersandarkan khayalan dan pembohongan telah menjadi
asas kepada kesimpulan duta tersebut bahawa 'penyiasatan tersebut
didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir' dan 'penyiasatan yang
dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan
untuk mencari suspek, tetapi bermotifkan politik'.
"Apabila Duta Besar Korea Utara dipanggil oleh Kementerian Luar,
Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Dua Hala telah menekankan
bahawa penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada
sesiapa serta dijalankan mengikut undang-undang negara ini," katanya.
Beliau berkata, siasatan polis adalah berdasarkan kesemua petunjuk yang ada dan akan disiasat sepenuhnya.
Menurut Anifah, pihak kedutaan Korea Utara hendaklah memberi kerjasama
penuh kepada kerajaan Malaysia bagi memastikan siasatan dijalankan
dengan rapi dan bukan menimbulkan syak wasangka terhadap siasatan
tersebut.
Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL 2 (KLIA2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila
secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang
dipercayai mengandungi cecair beracun.
Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan