GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang
menahan tujuh doktor kerana disyaki menyalah guna profesion mereka,
meluluskan permohonan pemeriksaan perubatan untuk memperbaharui Lesen
Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), tanpa melakukan pemeriksaan terhadap
pemohon.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban berkata pihaknya turut
menahan tiga individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan itu, iaitu
seorang wanita berusia 41 tahun, pembantu sebuah klinik dan dua lelaki
yang bertugas sebagai 'runner'.
"Enam doktor yang ditahan adalah pemilik klinik swasta dan seorang lagi
merupakan doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan. Pada masa
operasi dijalankan, doktor itu menjalankan tugas di klinik milik
ayahnya.
"Kesemua doktor terbabit ditahan dalam operasi kira-kira 3 petang
semalam di tujuh buah klinik di sekitar Bukit Mertajam, Batu Ferringhi,
Pekan Lama, Gelugor dan Perai serta dua premis dan kios persendirian,"
katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Beliau berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap kegiatan semua
doktor berkenaan sejak Disember lepas, dan mendapati mereka tidak
menjalankan prosedur pemeriksaan terhadap pemohon, khususnya pemandu bas
dan teksi yang ingin memperbaharui lesen PSV mereka.
"Perbuatan doktor-doktor itu bercanggah dengan syarat kelayakan yang
ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu adalah perkara wajib
bagi seseorang pemohon diperiksa sepenuhnya oleh doktor untuk memastikan
individu berkenaan berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan,"
katanya.
Abdul Aziz berkata hasil siasatan turut mendapati kerani yang ditahan
itu dibenarkan oleh doktor yang merupakan majikannya untuk meluluskan
borang pemeriksaan perubatan dengan menurunkan tandatangannya sendiri
sedangkan pengesahan itu sepatutnya dibuat oleh doktor berkenaan.
"Kedua-dua 'runner' yang ditahan itu pula memberikan perkhidmatan
kepada pemohon tanpa mereka perlu pergi ke klinik untuk mendapatkan
pengesahan doktor. SPRM turut merampas borang permohonan pemeriksaan
perubatan, resit-resit yang dikeluarkan kepada pemandu serta cap palsu
yang digunakan dalam kegiatan itu," katanya.
Beliau berkata seorang daripada 'runner' berkenaan telah menyediakan
enam cap palsu atas nama dua klinik dan tiga nama doktor yang tidak
wujud bagi meluluskan permohonan yang dibuat 'pelanggannya'.
"SPRM turut merampas 16 buku atau 1,600 keping Borang JPJL8 milik JPJ
di mana setiap buku mengandungi 100 helai borang...daripada 16 buku itu,
tujuh buku atau 700 keping borang telah siap ditandatangani dan dicop
dengan nama doktor dan klinik yang tidak pernah wujud," katanya.
Beliau berkata kesemua doktor berkenaan serta dua 'runner' terbabit
menjalankan kegiatan berkenaan sejak empat hingga 10 tahun lepas.
"Ini yang menyebabkan perkhidmatan mereka popular dalam kalangan
pemandu bas dan teksi. Berdasarkan siasatan awal, pemohon dikenakan
bayaran antara RM5 hingga RM30 oleh doktor-doktor tersebut untuk setiap
permohonan.
"Gejala ini amat serius dan tindakan perlu diambil dengan segera kerana
ia membabitkan keselamatan umum dan meningkatkan kemalangan jalan raya.
Bayangkan jika orang awam menaiki bas atau teksi dan tiba-tiba pemandu
berkenaan diserang sakit jantung dan sebagainya ketika memandu, ia amat
membahayakan," katanya.
Abdul Aziz berkata kesemua yang ditahan itu berusia antara 32 dan 74 tahun.
Mereka direman dua hari mulai Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan