Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: PAS tidak pernah meminta atau mengharapkan pimpinan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) datang melutut mahupun mencium kaki
pimpinan parti itu demi mendapatkan kerjasama pilihan raya umum (PRU)
akan datang.
Sebaliknya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki menyeru PPBM
supaya jangan melutut kepada pimpinan DAP terutama Lim Kit Siang dan Lim
Guan Eng
"Setakat yang saya maklum tiada mana-mana pimpinan PAS yang minta
pimpinan PPBM khususnya Tun Dr Mahathir mencium kaki pimpinan PAS.
"Yang PAS nasihat ialah pimpinan PPBM dan Tun Dr Mahathir jangan
melutut mencium kaki Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan DAP," katanya
kepada Antarapos menerusi aplikasi Whats App.
Semalam PPBM sekali lagi bertegas meletakkan tempoh sebulan kepada PAS
untuk segera memutuskan samada mahu menjalin kerjasama pakatan pilihan
raya atau tidak.
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, PPBM sudah buntu dalam mencari jalan memujuk PAS.
Malah menegaskan bahawa parti itu tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS dalam merealisasikan kerjasama itu.
Dalam pada itu, Zuhdi berpendapat dalam PPBM ini terdapat dua kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza mengenai kerjasama itu.
Jelasnya, ada pihak yang sangat mengharapkan kerjasama ini dan ada
pihak yang menganggap ia sebagai 'jalan' untuk mendapat sokongan DAP
dengan melakukan serangan ke atas PAS.
"Saya berpandangan, ada satu pihak dalam PPBM yang memang mengharapkan
kerjasama dengan PAS dan ada satu pihak lain yang tidak mengharapkan
kerjasama dengan PAS.
"Pihak yang tidak mengharapkan kerjasama ini, akan jadikan PAS sebagai
'punching bag', dan mereka berharap dengan menyerang PAS ini, mereka
akan meraih sokongan pengundi Cina yang bersama DAP," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan