HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Bertindak sebelum durian IS jatuh atas kepala

 
Pemikiran tidak kritis dalam pembelajaran agama merupakan satu faktor mengapa IS dapat menawan hati belia Islam.


isis


Pada awal musim panas, warga kota London seakan baru bangun setelah nyenyak tidur pada musim sejuk.

Mereka menikmati senja yang lewat, memakai pakaian biasa tanpa baju kot yang tebal. Ia seperti bangun tidur untuk menikmati pagi yang segar setelah tidur semusim.

Sedihnya, kota itu kini menjadi medan peperangan selepas 2 serangan dalam masa lebih kurang 70 hari.

Mac lalu, saya berada di seberang Sungai Thames, tempat serangan berlaku berdekatan bangunan parlimen. Jalan raya ketika itu sesak dan jika serangan berlaku di mana saya berada, tiada peluang untuk saya melarikan diri.

Dalam serangan malam Sabtu yang lalu pula, saya nyenyak tidur. Apabila saya bangun dan melihat telefon pintar, terkejut dengan riuh rendah pesanan sanak saudara dan kawan-kawan. Satu lagi serangan teroris sedang berlaku.

Penyakit IS sudah merebak ke serata dunia. Walaupun kononnya banyak langkah diambil, seperti kerjasama antarabangsa dan penjualan senjata berbilion dolar, gejala terorisme masih juga berlaku.
Mengapa agaknya? Apakah Malaysia masih selamat daripada serangan IS?

Analogi durian

Fikirkan sebiji durian. Adakah durian itu muncul begitu sahaja? Sudah tentu tidak! Mula-mula, tanah perlu digemburkan dan digali untuk menanam bijinya. Selepas biji bercambah, ia membesar sebagai pokok dengan dahannya, kemudian daun dan bunga. Barulah buahnya boleh tumbuh dan dipetik.

Begitu juga dengan serangan terorisme. Ia adalah proses panjang, bermula dengan proses indoktrinasi,

Di sini, kita perlu memikirkan proses pendidikan Islam yang masih berpegang kepada tafsiran silam tanpa pemikiran kritis.

Jika tafsiran ini dibentangkan dalam satu pendekatan “didactic” (dari peringkat atas ke bawah tanpa peringkat bawah memikirkan tentang apa yang diterima), maka penuntutnya tidak akan faham perbezaaan di antara teks dan tafsiran. Ini amat merbahaya kepada pembangunan minda mereka.
Malangnya, pendidikan Islam di sekolah tidak lebih daripada pendekatan “didactic” ini.

Dari Darjah 1 sehinggalah Tingkaan 5, mereka tidak didorong untuk mempunyai pemikiran kritis.
Contohnya, dalam sejarah mengenai sahabat Nabi. Terdapat kes di mana sahabat tidak bersetuju sesama sendiri. Dalam isu ini, bagaimana resolusinya? Mengapa sahabat tidak mendapat kata putus daripada Nabi Muhammad sendiri?

Jika begitu, maka kita perlu mengakui yang kita banyak mengikut pendapat manusia, bukannya ajaran atau suruhan Tuhan. Ini satu realisasi yang boleh mengurangkan rasa taksub dalam diri kita.
Jika kita sedar yang kita boleh silap, kita akan lebih merendah diri. Maka kuranglah peluang kita cuba menyerang orang yang tidak sealiran.

Pemikiran kritis lawan mentaliti IS

Pemikiran kritis boleh membawa pembaikan dalam kendiri umat Islam tetapi ada juga hukum yang perlu dihapuskan dengan terus.

Contohnya hukuman mati untuk orang murtad. Ia terang-terang bertentangan dengan ajaran Al-Quran. Walaupun demikian, umat Islam amat liat untuk melepaskan hukuman ini.

Yang ironiknya, mereka tidak faham yang hukuman ini sebenarnya menguatkan mentaliti ganas yang dipegang IS.

Fikirkan, jika Islam memberi hak untuk kita mengawal keimanan seseorang (satu perkara dalaman yang tidak dapat dilihat) dan membunuh mereka jika mereka hilang iman, tidak mustahil kita boleh mengambil sikap acuh tak acuh terhadap orang yang kita anggap sebagai kafir. Nyawa mereka menjadi tidak lebih daripada nyawa lipas yang dipijak manusia. Ini sangat bertentangan dengan kitab Allah.

Hukuman yang agak keterlaluan seperti hukuman mati untuk si murtad, merejam untuk penzina, memotong tangan untuk pencuri, dijadikan hujah oleh IS dalam merekrut ahli baru.

Hujah mereka begini – hukum ini daripada Allah, mengapa negara Islam tidak melaksanakannya?
Jawapan diberi ulama ialah masanya belum tiba dan sebagainya. Tetapi alasan ini tidak mencukupi kerana perekrut IS akan memberitahu belia Islam yang IS sudah bersedia untuk melaksanakan hukuman Allah.

Tidak hairanlah IS mudah memenangi hati belia Islam.

Inilah masalah kita. Kita jangan hairan jika buah durian jatuh ke atas kepala kita. Malaysia sudah mengalami insiden teroris tahun lalu. Mungkin serangan yang teruk sudah dirancang. Kita perlu peka dan menyediakan negara untuk menghadapi gejala ini.

Tiada ulasan: